Malaysia Dateline

Krisis coronavirus: Dua rakyat Malaysia turut diasing dalam wad

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat dua kes pesakit di bawah siasatan jangkitan (PUI) novel koronavirus (2019-nCoV) melibatkan rakyat tempatan.

Dua lagi kes PUI melibatkan warganegara China. Keempat-empat pesakit dijangkiti diasing di beberapa buah hospital dan keputusan makmal mereka akan diketahui dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, kes terbabit antara 23 kes jumlah keseluruhan PUI virus itu di Malaysia sejak 10 Januari lalu hingga jam 12 tengah hari ini.

Daripada jumlah itu 14 adalah warga negara Malaysia, China (8) dan seorang dari Jordan.

“Mengambil kira situasi semasa, KKM terus mempertingkatkan langkah pencegahan dan kawalan wabak jangkitan penyakit novel coronavirus.

“Kes yang disyaki akan diperiksa dan dirujuk ke hospital untuk pengambilan sampel serta pemantauan perkembangan gejala kes. Kes-kes ini dipantau sehingga tamat tempoh inkubasi virus ini iaitu sekurang-kurang 14 hari dari tarikh pendedahan atau berlepas dari China,” jelas Dr Noor Hisham lagi.