Malaysia Dateline

Krisis Covid-19 berterusan jika kerajaan tidak dedah kampung jemaah Tabligh

Negara akan terus menghadapi masalah besar menangani krisis global ancaman Covid-19 sekiranya kerajaan masih lagi bersikap kuno, tidak telus dan bertindak merahsiakan maklumat dengan rakyat Malaysia.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, sikap kerajaan yang terus mendiamkan diri berhubung penempatan jemaah Tabligh mengakibatkan kluster tersebut terus muncul biarpun selepas lebih sebulan perhimpunan itu selesai.

Walhal, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut mengakui betapa sikap berahsia Perikatan Nasional (PN) kini mengundang bahaya serta masih ketinggalan jauh kebelakang dalam menangani krisis Covid-19.

“Lagipun kalau kerajaan boleh mendedahkan kawasan hitam di Petaling Jaya dan Lembah Pantai, kenapa tidak kampung desa asal peserta Tabligh Seri Petaling?

“Sehingga Menteri-menteri kerajaan mengambil sikap tidak mementingkan diri dan politik sempit, masalah krisis kesihatan global ini akan sukar diatasi dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu turut mengkritik tindakan PN yang dikatakan mirip dengan negara komunis Korea Utara atau Republik China yang kuat berahsia dan suka mengklasifikasi maklumat penting sulit.

Menurutnya lagi, Selangor yang mencatat kes positif tertinggi juga sama sekali tidak diberikan maklumat lokasi jemaah biarpun permintaan dibuat oleh Dzulkefly yang kini mengetuai pasukan khas Covid-19 di negeri itu.

“Temu bual Dr Dzulkefly semalam mendedahkan sekali lagi sikap kerahsiaan dan kurang kerjasama kerajaan Malaysia yang enggan berkongsi maklumat dengan pasukan khas Covid- Selangor yang diketuainya.

“Permintaan untuk berkongsi maklumat umum tertentu tidak dilayan oleh kerajaan Malaysia untuk kajian terperinci walaupun Selangor merupakan negeri paling tinggi jangkitan Covid-19,” katanya.

Raja Kamarul yang juga bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, turut kesal dengan sikap menteri tertentu yang disifatkannya hanya bermain politik dan mahu mengaut publisiti peribadi seperti meletakkan gambar pada bantuan yang disalurkan.

Tegasnya, isu politik Selangor yang berada di bawah kerajaan PH tidak sepatutnya menjadi faktor dalam keadaan darurat ingin menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.