Malaysia Dateline

Krisis ekonomi di Pakistan terus memburuk, rakyat berebut-rebut kejar tepung gandum

Pakistan kini menghadapi kesukaran ekonomi yang memburuk. Video beberapa penduduk di Pakistan yang berebut sesama mereka untuk mendapatkan beg tepung bersubsidi di negara itu kini dikongsi berkali-kali ke semua media sosial.

Dikhabarkan tiga wilayah iaitu Khyber Pakhtunkhwa, Sindh, dan Balochistan mengalami kekurangan makanan yang teruk sejak banjir besar melanda sebahagian besar Pakistan tahun lalu.

Memetik Wion News, laporan media luar negara itu mengatakan bahawa ribuan penduduk terpaksa menghabiskan masa berjam-jam setiap hari untuk menerima beg tepung bersubsidi.

Orang ramai dalam video yang tular itu boleh dilihat merampas beg tepung antara satu sama lain. Sementara itu dalam klip lain, kelihatan beberapa penduduk mengejar lori yang membekalkan tepung bersubsidi itu.

Harga tepung telah mencecah paras yang terlalu tinggi di tengah-tengah krisis. Di Karachi, tepung dijual pada harga rupee 160 sekilogram (RM3.06).

Sementara itu, satu beg tepung boleh didapati dengan mudah sebanyak 1500 rupee (RM28.66) hingga 1600 rupee (RM30.57) satu kilogram di Islamabad dan Peshawar.

Orang ramai turut dilaporkan terpaksa menyimpan gas petroleum cecair (LPG) (gas memasak) dalam belon dan beg plastik kerana kerajaan gagal menangani kekurangan bekalan.

Dalam video berasingan yang tular di media sosial, rakyat di wilayah Khyber Pakhtunkhwa boleh dilihat menyimpan gas memasak dalam beg plastik.

Bagi menangani masalah ini, kerajaan Pakistan telah mencadangkan untuk menutup pasar dan dewan perkahwinan masing-masing pada 8.30 malam dan 10.00 malam untuk mengawal hutang yang semakin meningkat.

Perubahan radikal oleh kerajaan juga termasuk rancangan untuk menghentikan pengeluaran kipas dan mentol.

Defisit fiskal Pakistan mencapai 1.5 peratus daripada KDNK Julai-Oktober 2022-23.

Rizab pertukaran asing negara menjunam ke paras terendah sejak April 2014 bulan lalu apabila ia menyusut sebanyak 294 juta dolar (RM1.3 bilion) kepada 5.8 bilion dolar (RM25.2 bilion), terutamanya disebabkan oleh pembayaran balik hutang luar negeri.

Baca juga: Wanita Afghanistan luah bimbang selepas Taliban larang doktor lelaki rawat pesakit wanita