Malaysia Dateline

Krisis kepimpinan gerakan Tabligh tidak jejas himpunan di Tongi, Bangladesh

Ketika jutaan ahli gerakan Tabligh dari seluruh dunia memenuhi khemah-khemah di lembah Tongi berhampiran Dhaka, Bangladesh, rundingan antara dua kumpulan yang bertelagah dalam gerakan dakwah terbesar dunia itu berlangsung.

Rundingan itu dipengerusikan menteri hal ehwal dalam negeri Bangladesh, Asaduzzman Khan.

Selepas rundingan antara kumpulan-kumpulan yang bertelagah berakhir Khamis lalu, Asaduzzman mengumumkan bahawa Amir gerakan dakwah itu, Maulana Saad Kandhalvi tidak akan hadir pada ijtima Bishwa di Tongi yang berlangsung dari 13 hingga 15 Jan lalu.

Malah Maulana Saad yang telah pun sampai di Dhaka bersetuju meninggalkan Bangladesh pada masa yang sesuai.

Sepanjang berada di negara tersebut juga, Asaduzzman Khan berkata, pemimpin gerakan Tabligh itu tinggal di Markas Tabligh Bangladesh di masjid Kakrail.

Beliau berkata, wakil-wakil kanan daripada kedua belah pihak dan beberapa ulama kanan hadir dalam mesyuarat tersebut walaupun kesemua 13 ahli majlis syura Tabligh tidak hadir.

Asaduzzman memulakan perbincangan pada jam 3 petang dan rundingan berlangsung sehingga jam 5.15 petang di bilik persidangan Kementerian Dalam Negeri Bangladesh; menggambarkan betapa kroniknya pertelagahan di kalangan pemimpin gerakan dakwah tersebut.

Kumpulan yang menentang Maulana Saad mengadakan tunjuk perasaan di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka mncetus kekacauan lalu lintas yang teruk pada hari Rabu, 10 Jan lalu.

Mereka juga cuba berarak ke Masjid Kakrail, markas Jemaah Tabligh Bangladesh namun polis mengasak mereka ke kawasan Baitul Mukarram.

Kumpulan terbabit menuntut Maulana Saad dihantar balik ke Delhi.

Bantahan yang dilakukan kumpulan jemaah Tabligh Bangladesh ini adalah ekoran pergolakan yang melanda markas jemaah Tabligh dunia di Masjid Wali Bangle yang terletak di Basti Hazrat Nizamuddin, Delhi, India.

Ia berpunca daripada krisis kepimpinan gerakan dakwah bukan berorientasi politik itu yang dipengaruhi aliran pemikiran Deobandi.

Para pemuka Darul Uloom Deoband di Saharanpur, Uttar Pradesh juga menentang Maulana Saad atas beberapa kenyataan beliau yang dianggap ‘kontroversi’.

Semenjak ketua jemaah Tabligh Maulana Inaam ul Hassan atau lebih dikenali sebagai Hazrat Ji meninggal dunia, satu majlis syura dibentuk bagi memandu gerakan dakwah itu.

Majlis syura itu dianggotai amir jemaah Tabligh Pakistan Haji Abdul Wahhab, Maulana Zubair ul Hasan (anak Almarhum Hazrat Ji) dan Maulana Saad Kandhalvi (anak amir kedua jemaah Tabligh, Maulana Yusuf Kandhalvi).

Apabila Maulana Zubair ul Hasan meninggal dunia pada 2014, Maulana Saad mendakwa sebagai amir gerakan tersebut sekaligus mencetus bantahan sebahagian anggota Tabligh.

Anak kepada Maulana Zubair ul Hasan, Maulana Zuhairul Hasan turut menuntut jawatan itu manakala pengikutnya mendesak Maulana Saad membentuk kembali majlis syura namun desakan itu ditolak.

Krisis kepimpinan gerakan Tabligh itu turut memberi kesan kepada anggota kumpulan itu di Malaysia.

Seorang anggota jemaah Tabligh yang enggan dikenali berkata, beliau dan rakan-rakannya mengambil keputusan tidak menghadiri ijtima di Tongi tahun ini kerana kecewa dengan pergolakan yang berlaku.

Namun ijtima jemaah Tabligh di Tongi berjalan dengan aman apabila 4 juta orang dilaporkan menghadirinya menjadikan ia perhimpunan kedua terbesar selepas ibadah haji di Makkah.