Malaysia Dateline

Krisis Kim Kim: Dewan Rakyat bahas usul tergempar petang ini, TPM anggap tahap negeri

Dewan Rakyat akan membahaskan usul tergempar mengenai pencemaran toksik di Pasir Gudang pada pukul 4.30 petang ini.

Usul itu dibenarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof selepas dibentangkan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan disokong Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau).

Ini berikutan usul berkenaan memenuhi tiga kriteria iaitu menyentuh kepentingan ramai, perlu disegerakan dan melibatkan perkara tertentu.

Dr. Wan Azizah Wan Ismail

Tahap negeri

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, belum masanya untuk kerajaan mengisytiharkan darurat ekoran pencemaran toksik di kawasan itu.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, pagi tadi, beliau berkata, kerajaan sedang menilai situasi di kawasan tersebut sebelum boleh mengisytiharkan darurat.

Menurutnya, isu pencemaran toksik masih di tahap negeri dan belum merebak ke peringkat nasional, justeru masalah tersebut harus diperinci terlebih dahulu.

“Untuk isytiharkan darurat itu kita akan adakan mesyuarat terlebih dahulu dan kita akan fikirkan langkah-langkah untuk menangani masalah itu.

“Kita nak isytihar darurat, jadikan ia satu ‘panic attack’ pun tak boleh juga. Kita kena menimbangkan untuk menangani masalah itu,” katanya lagi.