Malaysia Dateline

Krisis Kim Kim: MAPIM gesa pencemar sisa toksik dihukum

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas pencemaran yang melibatkan sisa toksik di Pasir Gudang, Johor.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, amat mengejutkan malapetaka yang besar di seluruh kawasan tersebut mengakibatkan sebanyak 111 buah sekolah terpaksa ditutup.

“Tidak mungkin mereka yang terlibat tidak mengetahui akibat dan kesannya jika sisa toksik tidak diurus mengikut prosedur ketat yang sepatutnya.

“Seharusnya mereka yang terlibat didakwa dan diheret ke mahkamah bagi menerima hukuman yang setimpal dengan apa yang sedang berlaku kini,” tegasnya.

Malah kata Mohd Azmi, insiden yang melibatkan ratusan pelajar dan ribuan penduduk di kawasan tersebut pastinya perlu disiasat dengan rapi dan teliti.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Tegasnya , tahap menepati keselamatan yang ditetapkan sudah tentu wajib dipatuhi sebelum mereka boleh dibenarkan beroperasi di kawasan tersebut.

“Insiden kritikal separah ini memberi isyarat kepada pihak berkuasa supaya lebih teliti terhadap semua kawasan perusahaan yang melibatkan pengeluaran bahan sampingan merbahaya seperti gas beracun.

“Negara perlu mempunyai peraturan yang ketat keatas kilang pengeluaran bahan atau sisa toksik.

“Kawalan ketat ke atas semua kilang yang mengeluarkan bahan toksik perlu dikuatkuasakan tanpa sebarang kompromi,” katanya lagi.

Beliau juga menyatakan insiden buruk yang berlaku seperti kebocoran radiasi toksik nuklear di Chernobyl pada 1986 di Rusia memaksa 45,000 penduduk dipindahkan dari sebuah bandar dan tidak pernah kembali selepas itu harus menjadi iktibar.

Malapetaka

Manakala itu katanya, seramai 210,000 penduduk pula terpaksa ditempatkan semula di kawasan yang kurang kontaminasi.

“Insiden hitam tersebut mengakibatkan kawasan kontaminasi seluas 18,000 kilometer persegi tanah pertanian.

“Jangan dilupakan insiden di Bhopal, India pada tahun 1984 apabila 40 tan bahan toksid dilepaskan dari sebuah kilang pestisida yang mengakibatkan seramai 500,000 orang terdedah kepada gas methyl socyanate (MIC) serta bahan kimia yang lain dari kilang Union Carbide.

“Akibatnya dianggarkan seramai 2,259 yang telah meninggal dunia, ” kata beliau lagi.

Tambah Mohd Azmi lagi, kerajaan Madhya Pradesh pula dengan rasminya melaporkan 3,787 maut akibat gas yang dilepaskan ke udara.

“Malapetaka yang lebih besar boleh berlaku sekiranya kerajaan tidak serius mengendalikan isu ini.

“Dasar kawalan keatas semua kilang yang menghasilkan bahan toksid samada bersifat radiasi, pepejal, cecair mahu pun gas harus dikuatkuasakan dengan serius.

“Alasan pertumbuhan ekonomi serta peluang pekerjaan tidak harus mengatasi isu keselamatan manusia dan kualiti alam sekitar, ” saran beliau.

Oleh kerana itu katanya, kerajaan kini tidak harus berkompromi sekiranya wujud pelanggaran keselamatan melibatkan alam sekitar yang turut mengancam keselamatan manusia.