Malaysia Dateline

Krisis Kim Kim: Pakar gesa isytihar darurat elak masalah kesihatan jangka panjang

Kerajaan negeri Johor digesa mengisytiharkan darurat segera di kawasan tertentu terutama di Pasir Gudang, Johor ekoran krisis pencemaran toksik di Sungai Kim Kim.

Menurut Felo Penyelidik Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo, langkah itu bagi mengelakkan penduduk di kawasan yang tercemar mengalami masalah kesihatan jangka panjang.

“Kerajaan negeri perlu memastikan keselamatan penduduk di kawasan yang berisiko tinggi terjamin dengan memindahkan mereka ke tempat lebih selamat. Pengisytiharan darurat perlu dilaksanakan sehingga keadaan benar-benar pulih.

“Jumlah mangsa yang meningkat ketika ini adalah kerana kesan jangka pendek pencemaran toksik itu. Yang lebih bahaya adalah kesan jangka panjang terhadap mangsa kerana mampu menyebabkan pelbagai komplikasi penyakit merbahaya,” dipetik Utusan Online hari ini.

Dr. Ibrahim turut menuntut kerajaan negeri menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu mengambil langkah pantas membendung jumlah mangsa daripada terus meningkat kerana dikhuatiri akan menyebabkan keadaan lebih buruk berlaku.

Tambahnya lagi, tindakan lambat daripada pihak bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat secara tidak sengaja menyebabkan lebih ramai penduduk setempat menjadi mangsa pencemaran tersebut.