Krisis Kim Kim: Pemilik syarikat tayar kitar semula didakwa hari ini

Krisis Kim Kim: Pemilik syarikat tayar kitar semula didakwa hari ini

Pemilik syarikat tayar kitar semula yang dipercayai membuang sisa toksik ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada minggu lepas mungkin didakwa di mahkamah hari ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin berkata kertas siasatan telah pun siap dan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pagi semalam untuk mendapatkan penilaian dan pertimbangan untuk mendakwa.

“(Dan) kita harap dapat dakwa (suspek) esok di mahkamah. Jika sabit kesalahan, dia akan dipenjara maksimum lima tahun dan juga denda RM500,000 di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya kepada pemberita di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) semalam.

Beliau juga telah menghubungi Peguam Negara Tommy Thomas mengenai kemungkinan mengenakan beberapa tuduhan terhadap suspek memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan hukuman setakat ini tidak mencukupi.

Pada 7 Mac lalu, seramai 1,400 pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Puteh diarah mengosongkan kawasan sekolah masing-masing selepas sejumlah pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam sungai tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) percaya insiden gelombang kedua pencemaran sisa toksik yang berlaku di Johor Bahru adalah disebabkan pergerakan tiupan angin selain cuaca panas di kawasan berkenaan.