Krisis Korea Utara-Msia: Bersatu gesa kerajaan tubuh pasukan rundingan

Krisis Korea Utara-Msia: Bersatu gesa kerajaan tubuh pasukan rundingan

Kerajaan  digesa menubuhkan pasukan rundingan bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara seterusnya membawa mereka pulang ke tanah air.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan itu seharusnya dianggotai badan luar yang berkapasiti menguruskan rundingan antara dua negara secara bijaksana  bagi mengelakkan ketegangan berterusan antara dua negara.

“Teliti cara sebaik mungkin, mungkin ada langkah segera yang patut diambil untuk cari jalan bagaimana kemelut pertembungan dua pihak ini dapat diredakan dan jangan ditingkatkan lagi ketegangan.

“Adakah pihak lain yang boleh membantu kita, badan antarabangsa seperti Majlis Keselamatan PBB atau yang boleh berperanan untuk itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya semalam.

Beliau berkata, sebarang kesilapan langkah bakal meningkatkan krisis dan mendedahkan Malaysia kepada ancaman keselamatan.

“Kebimbangan kami kerana kita tahu Korea Utara mempunyai cara mereka dalam pengurusan hubungan antarabangsa yang kadangkala mereka tidak ikut konvensyen sedia ada.

“Kita bimbang jika tidak berjaga-jaga dan tidak berhati-hati atau kerajaan akan terlepas pandang. Perkara sudah berlaku tidak boleh undur balik implikasinya cukup sangat besar,” ujarnya.

Terdahulu, Pyongyang mengeluarkan arahan sekatan terhadap 11 rakyat Malaysia yang berada di negara komunis itu daripada meninggalkan Korea Utara.

Empat daripadanya pegawai dan kakitangan kedutaan bersama lima ahli keluarga mereka sementara dua lagi kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam perkembangan sama  Amanah menerusi Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub  semalam, turut mencadangkan kepada agar kerajan meminta bantuan Norway bagi menjadi orang tengah dalam krisis berlaku.

Beliau dipetik berkata, Norway mempunyai prestij dan pengalaman dan diperakui memiliki segala kemampuan diplomatik kerana ibu negaranya Oslo adalah destinasi keamanan dan perdamaian yang menjanjikan kemunasabahan kejayaan dalam sebarang rundingan diadakan kelak.

TAGS