Krisis Korea Utara-Msia: Jamil Khir seru umat Islam lakukan Solat Hajat bermula 10 Mac

Krisis Korea Utara-Msia: Jamil Khir seru umat Islam lakukan Solat Hajat bermula 10 Mac

Seluruh rakyat Malaysia diseru mendoakan keselamatan dan kesejahteraan juga perlindungan ke atas rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, umat Islam di seluruh negara juga diseru menunaikan solat hajat bagi memohon perlindungan juga keselamatan berhubung ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, Sabtu ini.

“Saya meminta semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat bermula 10 Mac ini dan berterusan sehingga kemelut ini selesai,” katanya lapor Bernama dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau turut mengharapkan konflik itu diselesaikan dengan baik dan rakyat Malaysia di Korea Utara dapat kembali ke tanah air dengan selamat.

“Semoga usaha murni ini diberkati dan dirahmati Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean berkata, perbezaan pendapat antara Malaysia dan Korea Utara perlu dibincang serta diselesaikan tanpa mengambil langkah ekstrim.

Beliau mengulas perbalahan antara Kuala Lumpur dan Pyongyang ekoran pembunuhan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam, lapor Channel NewsAsia, semalam.

“Kami memantau rapat perkembangan di sana dengan amat teliti bukan sahaja antara Korea Utara dan Malaysia tetapi juga Korea Utara yang begitu aktif melancarkan peluru berpandunya beberapa hari lalu.

“Saya berpendapat, kita perlu menggalakkan Korea Utara bersikap lebih sederhana dalam tindakan yang diambilnya demi memelihara keamanan dan kestabilan serta keselamatan di rantau ini,” katanya yang juga menteri penyelaras keselamatan nasional Singapura kepada media negara itu di Jakarta.

TAGS