Malaysia Dateline

Krisis Palestin: AMANAH terus desak Parlimen bersidang segera

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengulangi pendiriannya dan mendesak agar kerajaan membuka segera Parlimen bagi membincangkan penindasan yang sedang berlaku di Palestin.

Beliau berkata, tiada tempat lain yang lebih kukuh untuk menyatakan pendirian berhubung isu Palestin selain di Parlimen Malaysia agar kerajaan dan semua pihak dapat bertindak tegas berhubung konflik di negara umat Islam itu.

Beliau turut menyatakan permohonannya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar dapat memastikan sidang Parlimen dipanggil.

“Penyertaan Parlimen adalah penting. Maka dengan itu kita akan terus mendesak. Satu sidang khas Parlimen perlu diadakan segera dan kita merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan Parlimen bersidang.

“Walaupun dari segi formaliti Parlimen dipanggil atas nasihat Perdana Menteri, tapi atas keadaan istimewa ketika ini, raja kita perlu bertindak dengan serius. Kerana baginda Agong juga sebahagian dari Parlimen,” katanya dalam Ceramah Mega #KoyakIsrael di Wisma Amanah malam tadi.

Terdahulu, Salahuddin berkata, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) bersedia memberi jaminan bahawa tidak akan ada usul undi tidak percaya di Parlimen sekiranya kerajaan bersetuju mendengar permintaan mereka untuk membuka semula sidang Dewan Rakyat.

Menurutnya, jika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu takut untuk membuka Parlimen, mereka sedia memberi jaminan sedemikian agar Malaysia dapat membawa usul tentang konflik Palestin-Israel yang semakin memburuk.

Sementara itu, menerusi ceramahnya malam tadi, Ahli Parlimen Pulai itu menegaskan agar semua negara-negara Islam dapat memanggil satu sidang khas secara maya mahupun fizikal bagi membincangkan isu umat Islam di Palestin.

Pada masa sama, beliau menyatakan harapan tinggi agar Malaysia dapat mengusahakan menghantar pasukan tentera pengaman ke Palestin bersama Turki dan negara-negara Islam yang lain.

Jelasnya, sekiranya Turki diberi keizinan menghantar tenteranya, Malaysia tidak boleh berlengah untuk menggerakkan pasukan tenteranya ke negara umat Islam itu.