Malaysia Dateline

Krisis Palestin: Hadi tidak nasihat Muhyiddin sokong ‘Penyelesaian Dua Negara’?

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah mempersoal pendirian Pas yang kini sebahagian kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung perkembangan terkini Palestin.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu bertanyakan apa pendirian tegas Pas yang sebelum ini menentang keras penyelesaian wilayah bergolak itu melalui Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution.

Menurutnya, rakyat ingin bertanyakan sikap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri berkenaan penyelesaian mengikut garis sempadan sebelum tahun 1967 itu.

“Rakyat amat hairan dengan adanya pelantikan Presiden Pas, Hadi Awang, sebagai Duta Khas Timur Tengah, tiadakah nasihat yang telah diberi kepada Perdana Menteri seperti sepatutnya?

“Rakyat juga ingin bertanya, adakah Haji Hadi bersetuju dengan cadangan konsep dua negara, yang akan bermakna mengiktiraf negara Israel, oleh Muhyiddin setelah beliau berada dalam kerajaan?

“Adakah pendirian tegas Pas dahulu yang menentang keras dan tidak menyokong solusi dua negara telah berubah setelah memegang kuasa?” soal Raja Bahrin dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khas disiarkan secara langsung di laman Facebook berkata, Malaysia menyokong penyelesaian melalui Penyelesaian Dua Negara.

Menurut Pengerusi PN itu lagi, Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak berkaitan berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan.

Mengulas lanjut, Raja Bahrin bertanyakan sama ada Pas pada masa ini boleh bersetuju dengan tanah asal Palestin yang telah dirampas, dibina tembok pemisahan kawasan dan dasar apartheid yang diamalkan oleh Israel.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu itu berpendapat seluruh negara menunggu respon dari pihak Pas dan perlu dijawab oleh pimpinan Pas.

“Adakah Pas telah kini mempunyai sikap liberal terbuka boleh menerima itu semua seperti negara barat lain setelah Pas mempunyai Menteri dan Timbalan Mentri dalam kerajaan ?

“Ahli serta penyokong Pas dan juga rakyat biasa ingin mendapat penjelasan adakah Pas bersetuju dengan kenyataan Muhyiddin tentang konsep dua negara untuk Palestin?

“Adakah pendirian Pas tentang nasib Palestin lain semasa di luar kerajaan dan kini telah berubah apabila memegang kuasa kerajaan?” soal Raja Bahrin lagi.