Malaysia Dateline

‘Krisis perlembagaan akan berlaku jika PM enggan buka segera Parlimen’

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berpendapat kerajaan perlu menyegerakan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Menurutnya, kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik buat negara bagi mengelak ekonomi merudum dan pelabur lari berikutan ketidakstabilan politik di Malaysia.

“Perdana Menteri perlu segera melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong kerana baginda sudah bertitah supaya Parlimen perlu dibuka secepat mungkin.

“Jika Perdana Menteri tidak mahu membuka Parlimen, akan berlaku pertentangan krisis perlembagaan antara Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan,” katanya.

Pakar sejarah itu berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh memilih kerajaan baharu atau pemerintahan negara diketuai tentera jika titah Seri Paduka tidak dilaksanakan segera.

“Pelantikan Perdana Menteri adalah atas kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Dalam keadaan sekarang (darurat), baginda sudah bertitah supaya parlimen dibuka dan arahan itu perlu diikuti.

“Jika tidak ikut, selain bubar kerajaan sekarang, kita boleh adakan pemerintahan tentera kerana baginda selaku Ketua Turus Tentera negara,” katanya dipetik BH.

Ramlah turut mengingatkan Yang di-Pertuan Agong sudah mengeluarkan dua kenyataan sama bermaksud perkara ini perlu diambil serius.