Malaysia Dateline

Krisis politik jejas fokus tangani pandemik

Krisis politik menyumbang kepada ketidakberkesanan dan tumpuan untuk menyelesaikan pandemik Covid-19, tegas Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menurutnya, krisis pandemik yang sehingga semalam merekodkan sebanyak 106,690 kes positif itu lebih berkesan dikendalikan jika keadaan politik semasa stabil.

Sebaliknya, Malaysia terpaksa mencurahkan banyak tenaga untuk menangani krisis politik yang berlaku sejak Langkah Sheraton pada Februari lalu.

“Seharusnya kita tumpu pada usaha menyelesaikan krisis pandemik tetapi krisis politik yang berlaku melanggar prinsip-prinsip demokrasi.

“Akibatnya, kita gagal mengatasi pandemik. Ketidakstabilan politik jugalah kemudiannya menyumbang masalah lebih besar termasuk krisis ekonomi,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata demikian dalam bual bicara menerusi Facebook Dialektika TV yang dimoderatorkan Sayed Munawar malam tadi.

Mujahid berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berdepan dengan masalah keabsahan lebih bertindak untuk mengekalkan kuasa.

“Saiz Kabinet XXL begitu besar dan melantik duta-duta yang tidak berperanan. Semua itu dilakukan untuk kekal kuasa.

“Mereka gagal mengutamakan usaha untuk mengatasi krisis pandemik.

“Selagi tiada penyelesaian kepada krisis politik yang dihadapi sejak rampasan kuasa pada Februari lalu, kita diheret dengan isu politik.

“Mereka (PN) sepatutnya memikirkan isu Covid-19,” tegasnya.

Sehubungan itu, Mujahid menegaskan langkah pemulihan demokrasi dan penyembuhan negara perlu dilaksanakan untuk menyelesaikan isu pandemik secara berkesan.