Malaysia Dateline

Krisis politik Perak: Sultan hanya pilih calon dapat sokongan majoriti mudah

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hanya akan memilih Menteri Besar dari kalangan calon yang mendapat sokongan majoriti mudah.

Ahli Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini berkata, buat masa ini belum ada calon yang mempunyai majoriti mudah untuk menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Duli Yang Maha Mulia (DYMM) ambil maklum seperti di hari-hari sebelum, peranan DYMM hanyalah setelah diyakinkan bahawa calon yang akan dipersembahkan itu telah mendapat sokongan majoriti mudah.

“Dan pihak istana bersedia apabila diyakinkan sudah ada calon yang sudah dapat majoriti mudah untuk angkat sumpah jawatan menteri besar yang baru,” katanya pada sidang media di luar Istana Kinta, Ipoh hari ini.

Semalam, Ahmad Faizal meletak jawatan sebagai Menteri Besar bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu ekoran kegagalannya mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli Dewan.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan hanya mendapat sokongan 10 undi berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali terhadap usul itu yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru).

DUN Perak mempunyai 25 ADUN Barisan Nasional (BN) yang kesemuanya daripada Umno, 16 daripada DAP, Bersatu (5), AMANAH (5), PKR (3), Pas (3), Gerakan dan Bebas masing-masing satu.