Krisis Sungai Kim Kim: Kena tahu kuantiti toksik dulu, kata pakar

Krisis Sungai Kim Kim: Kena tahu kuantiti toksik dulu, kata pakar

Susulan isu pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang sedang hangat diperkatakan ketika ini, Pakar Kualiti Air dan Pemodelan, Dr Zaki Zainudin menjelaskan, kuantiti bahan toksik adalah perkara yang perlu diperhalusi.

Beliau berkata, kuantiti itu adalah penting demi memastikan sungai berkenaan bebas sepenuhnya daripada bahan kimia.

“Kita boleh memastikan sungai itu benar-benar bebas daripada bahan terlarang sekiranya sudah mendapat tahu kuantiti (jumlah sisa toksik) yang terkandung dalam sungai itu.

“Buat masa sekarang, memang saya tak boleh lagi nak anggarkan bila Sungai Kim Kim akan bersih sepenuhnya.

“Untuk pengetahuan semua, Sungai Kim Kim dipengaruhi kesan air pasang surut. Sungai biasanya ada aliran. Kalau ada apa apa bahan tercemar, ia akan keluar ke laut.

“Sungai ini mengandungi bahan tercemar, maka ia akan mengambil masa untuk ‘flush’ ke luar pesisiran pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Dateline ketika diminta mengulas mengenai berapa lama masa diperlukan untuk memastikan sungai bebas sepenuhnya daripada bahan toksik.

Dr Zaki menambah, pencemaran di sungai itu sebenarnya sudah berlaku sejak 2012 lagi, tetapi pencemaran kali ini lebih teruk.