Malaysia Dateline

Krisis Suruhanjaya Sekuriti: Pelantikan Awang Adek hanya calar kredibiliti

Krisis besar telah meletus di Suruhanjaya Sekuriti (SC) iaitu pengawal selia pasaran modal Malaysia. Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Syed Zaid Albar, telah meletakkan jawatan secara mengejut pada 28 April 2022 lalu dan sehari kemudian, telah dilaporkan bahawa tiga lagi pimpinan tertinggi SC turut meningalkan organisasi itu.

Ada dakwaan yang mengatakan krisis di SC berlaku kerana wujudnya campur tangan politik “peringkat tertinggi” dalam kontroversi Serba Dinamik Holdings Bhd.

Lebih malang, Datuk Syed Zaid Albar yang merupakan seorang teknokrat akan digantikan oleh orang kuat Umno, Datuk Awang Adek Hussin. Awang Adek pernah terkait dengan skandal wang. Dia pernah mengakui menerima sumbangan politik ke dalam akaun peribadinya pada tahun 2011.

Susulan perkembangan ini, Malaysia telah menjadi bahan lawak atau “laughing stock” di mata dunia. Kredibiliti SC telah terjejas teruk ketika ini.

Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz terus membisu dan tidak tampil memberikan penjelasan.

Oleh itu, kerajaan harus segera memberikan penjelasan kepada awam berkaitan krisis pengurusan yang berlaku di dalam SC supaya imej dan integriti Suruhanjaya ini terus terpelihara.

Di samping itu, satu jawatankuasa bipartisan Parlimen perlu segera dibentuk bagi meneliti krisis kepimpinan di SC ini.

Terdapat pelbagai persoalan dalam kalangan awam yang perlu dirungkaikan ketika ini iaitu, sama ada krisis ini disebabkan oleh campur tangan politik dan sama ada Serba Dinamik cuba dilindungi pihak tertentu?

Apatah lagi SC sebelum ini terkait dengan kontroversi isu ketua SPRM Tan Sri Azam Baki yang disiasat berkaitan skandal “proxy trading”.

Kerajaan juga perlu mempertimbangkan calon baharu yang lain untuk menggantikan Datuk Syed Zaid. Pelantikan Datuk Awang Adek, yang merupakan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, hanya akan mencalar kredibiliti SC.

Imej SC tidak boleh dikompromi. Hakikatnya, SC memerlukan kepimpinan yang tidak bersandar pada politik dan mempunyai kefahaman yang tinggi terhadap pasaran modal.

Sekiranya krisis ini tidak diselesaikan segera, Malaysia akan gagal menarik minat pelabur dan syarikat-syarikat luar negara yang pasti menjejaskan ekonomi negara.

*MUHAMMAD FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional juga ADUN Permatang Pasir.

Baca Di mana kredibiliti SPRM percaya blog penulis yang tidak hormat undang-undang Malaysia?