Krisis Terengganu bukti Pas bukan nak lawan BN

Krisis Terengganu bukti Pas bukan nak lawan BN

Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Mohd Hasbie  Muda berkata, Pas sebenarnya telah menunjukkan sikap mereka terhadap Umno BN ketika krisis melanda kerajaan BN Terengganu, tiga bulan yang lalu.

Berucap pada ceramah di Jambatan Sayong Malam tadi beliau berkata, ketika usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman dibentangkan di Dewan Undangan Negeri, Pas secara tiba-tiba membuat pusingan-U menyokong kerajaan BN.

“Bila buat undi tak percaya Adun-adun Pas bangun sokong undi tak percaya itu. Kita pun seronok nampak Pas betul-betul nak lawan Umno.

“Tak sampai 24 jam tiba-tiba pendirian Pas Terengganu berubah 360 darjah. Adun-adun yang mulanya bersemangat bangun nak tengok kerajan Razif tumbang, ubah pendirian untuk terus sokong kerajaan BN,” katanya ketika berucap di majlis kempen untuk calon Amanah di Kuala Kangsar malam tadi.

Insiden itu katanya cukup untuk menjelaskan kepada rakyat khususnya di Kuala Kangsar bahawa Pas bukan parti yang mahu melawan BN malah lebih kepada mahu menyelamatkan BN.

“Adakah tuan-tuan nak bagi harapan kepada Pas untuk lawan Umno? Sedangkan di negeri mereka paling kuat pun mereka masih bagi laluan kepada Umno

“Sebab itu kita kena jelas, pertembungan sekarang ini adalah antara PH dengan BN,” katanya sambil menyeru supaya pengundi memilih Amanah dan mengabaikan parti lain.

Adun Kijal yang juga bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said  mencadangkan usul undi tidak percaya kepada MB Terengganu sebelum mengakhiri perbahasannya pada sesi perbahasan atas titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin merasmikan persidangan DUN ke-13 pada 7 Mac lalu.

Namun usul itu ditolak oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong.

Usul itu mati begitu saja selepas itu apabila para Adun Pas diarahkan oleh presidennya yang juga Adun Rhu Rendang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar jangan campur tangan dan sekaligus menyebabkan usaha untuk menukar kerajaan negeri Terengganu gagal.

BN mempunyai 17 Adun dalam DUN Terengganu manakala Pas (14) dan PKR (1).

Ahmad Said yang mengemukakan usul itu didakwa mempunyai sehingga enam Adun BN yang menyokongnya. Namun tanpa sokongan Pas, usul itu tidak akan menang.

Kerajaan Terengganu pimpinan Ahmad Razif dilihat sangat lemah ekoran tidak lagi mendapat pengiktirafan dari Istana Terengganu selepas semua gelaran kebesaran yang dianugerahkan kepada beliau oleh istana ditarik balik.

 

 

COMMENTS

Wordpress (0)