Malaysia Dateline

Krisis Umno 1987: Satu lipatan sejarah

Pastinya ramai dalam kalangan anak muda seakan-akan terlupa atau tidak mengetahui bahawa Umno pernah di haramkan satu ketika dahulu. Bagi mereka yang minat dan mahu menyertai politik,krisis Umno 1987-1988 harus dijadikan kitab sejarah untuk mengambil pengajaran akan hal tersebut. Pastinya ia menarik untuk diulaskan kerana persepsi umum melihat bahawa politikus itu sanggup mengorbankan partinya demi kelangsungan politik masing-masing. Krisis itu bukan sahaja membawa kepada permasalahan dalam Umno sahaja malah wujud krisis kehakiman dan krisis perlembagaan negara.

Mari kita ungkap semula lipatan sejarah tentang krisis yang berlaku pada Umno sehingga ia pernah diharamkan. Apakah yang menjadi faktor utama hal ini berlaku. Watak-watak seperti Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh Hamzah dan ahli politik lain yang terlibat adalah Tun Musa Hitam, Tun Abdul Ghafar Baba dan Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi.

Kisahnya bermula apabila tiga ahli politik ini mula menyertai Umno dan kerajaan semasa pemerintahan Tun Abdul Razak. Tun Dr Mahathir dan Tun Musa Hitam merupakan dua insan yang dipecat dalam Umno semasa Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden Umno. Hal ini kerana mereka berdua lantang mengkritik Tunku ketika itu di mana Umno mengalami kemerosotan sokongan dalam Pilihan Raya Umum ketika itu. Tindakan Tun Dr Mahathir dan Tun Musa Hitam telah menyebabkan mereka dipecat dan diambil semula menyertai Umno semasa Tun Abdul Razak memimpin. Bukan sekadar masuk semata-mata namun lebih mengejutkan mereka berjaya menempatkan diri dalam pucuk pimpinan parti. Tengku Razaleigh kekal dalam Umno dan terus membantu Tun membina negara.

Apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia mengejut pada tahun 1976, Tun Hussein Onn ketika itu merupakan Timbalan presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri telah mengambil tanggungjawab memangku jawatan tersebut. Apabila Tun Hussein Onn telah mendapat mandat sebagai Perdana Menteri, persoalan yang timbul adalah siapa yang hendak dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tidak pasti atas penilaian apa, Tun Dr Mahathir telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun ketika itu beliau hanyalah Naib Presiden Umno yang ketiga. Bermaksud ada ahli politik yang lebih senior namun Tun Dr Mahathir yang dipilih. Ketika itu, Naib Presiden Umno yang paling kanan ialah Tun Abdul Ghafar Baba kemudian Tengku Razaleigh Hamzah barulah Tun Dr Mahathir. Ada sumber yang menyatakan Tun Hussein Onn sebenarnya mahu melantik Tan Sri Ghazali Shafie sebagai Timbalan Perdana Menteri, namun telah di dorong oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk melantik Tun Dr Mahathir sebagai TPM dengan harapan apabila Tun Dr Mahathir menjadi PM, Tengku Razaleigh akan melantik dirinya sebagai TPM.

Tetapi apa yang berlaku apabila Tun Hussein Onn meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno setelah bertempur dengan Sulaiman Palestin, Tun Dr Mahathir yang mengambil ahli tampuk kepimpinan negara tidak melantik Tengku Razaleigh secara terus tetapi membuka gelanggang pertandingan untuk memilih siapa Timbalan Presiden Umno yang akan memegang jawatan TPM pada tahun 1981. Akhirnya Tun Musa Hitam menang dalam pertandingan tersebut. Hal ini memberi kesan yang sangat tidak baik buat Tengku Razaleigh kerana sepatutnya beliau yang mendapat jawatan tersebut bukan Tun Musa Hitam yang sebelum itu hanya naib presiden ketiga.

Pertembungan ini bukan sekali, tetapi dua kali sehinggalah pada kemuncaknya. Pertembungan kedua adalah pada tahun 1984. Semasa pertembungan ini Tun Musa Hitam adalah Timbalan Perdana Menteri manakala Tengku Razaleigh merupakan Menteri Kewangan. Namun dalam pemilihan kali ini, menariknya bukan mereka berdua sahaja yang menyertai pertandingan ini, Datuk Harun Idris juga terlibat dengan hanya mendapat 34 undi sahaja. Perlawanan pusingan kedua ini juga ia menyebelahi Tun Musa Hitam. Tengku Razaleigh masih mendapat undi yang banyak dalam pemilihan kali ini menyebabkan Tun Dr. Mahathir melantik beliau sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Akhirnya pada tahun 1986, Tun Musa Hitam telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri namun kekal sebagai Timbalan Presiden Umno. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan krisis Tun Musa Hitam dan Tun Dr Mahathir wujud. Namun yang paling diperkatakan ialah Tun Musa Hitam tidak dapat bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir lagi apabila kerjasama ini sudah tidak mempunyai kepercayaan. Ini bermakna bahawa Tun Musa Hitam mendakwa Tun Dr Mahathir sudah tidak mempercayai beliau sebagai Timbalannya lagi. Namun setelah dibentuk satu jawatankuasa pemujuk yang diketuai oleh Almarhum Tan Sri Wan Mokhtar yang ketika itu salah seorang Naib Presiden Umno. Akhirnya Tun Musa Hitam kekal sebagai Timbalan Presiden Umno tetapi tetap meletakkan jawatan sebagai TPM.

Krisis ini berterusan sehinggalah pemilihan Umno tahun 1987. Hubungan yang keroh antara Tun Musa Hitam dan Tun Dr Mahathir menyebabkan Tun Musa Hitam telah berpakat dengan Tengku Razaleigh untuk menentang Tun Dr Mahathir. Pastinya isu-isu ketidakpuasan hati antara Tun Dr. Mahathir dan Tun Musa Hitam serta Tengku Razaleigh telah menyebabkan pakatan ini terbentuk. Pemilihan kali ini adalah pemilihan kalah mati antara mereka berdua (Tun Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh) termasuk Tun Musa Hitam. Team yang kalah akan gugur dalam medan pertempuran kali ini. Maka terbentuklah team A apabila Tun Dr. Mahathir meminta Tun Ghafar Baba masuk kedalam perlawanan ini melawan Tun Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden Umno. Manakala Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam dalam team B.

Pemilihan 1987 ini sangat tegang dengan keadaan semua calon menggunakan jentera yang mereka ada sama ada parti mahupun jawatan kerajaan untuk memastikan mereka menang. Pastinya bagi team A, orang muda nafas baru iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi jurukempennya memenangkan Tun Dr Mahathir dan Tun Ghafar Baba. Manakala Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu merupakan Ketua Pemuda Umno Malaysia merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Pahang telah menyebelahi team B bagi pihak Tengku Razaleigh. Mengejutkan semua pihak apabila saat-saat akhir apabila Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat pusingan ‘U’ apabila menyokong team A pimpinan Tun Dr Mahathir. Mungkin dengan pusingan U ini menyebabkan team A menang dalam pemilihan tersebut. Hal ini kerana, Tun Dr Mahathir mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah dengan beza 43 sahaja. Manakala Tun Ghafar Baba pula berjaya menyingkirkan Tun Musa Hitam dengan beza undi 41 mata sahaja. Bayangkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang memegang undi Pemuda Umno dan undi bahagian-bahagian dalam negeri Pahang menyokong team B seperti asal dahulu, pastinya pemilihan kali ini telah dimenangi oleh team B.

Antara perkara yang mengejutkan apabila kesemua calon team A menang kecuali Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi dari team B, berjaya menempatkan diri sebagai salah seorang Naib Presiden Umno. Namun kemenangan beliau tidak diiktiraf oleh Tun Dr Mahathir apabila beliau tidak dilantik sebagai menteri kabinet selama satu penggal pemilihan Umno, manakala Tun Ghafar Baba diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia selepas Tun Musa Hitam.

Pasca pemilihan tersebut, rupanya wujud sekumpulan ahli Umno yang terdiri dari 11 hingga 12 orang telah membawa kes perwakilan tidak sah terlibat dalam pemilihan kali ini. Perwakilan tidak sah itu mungkin disebabkan oleh cawangan tersebut tidak menyelesaikan mesyuarat agungnya ataupun cawangan itu belum berdaftar namun mengundi pada pemilihan tersebut. Ini menyebabkan undi yang diperoleh adalah tidak sah. Ringkasnya pada 12 Februari 1988, Umno sudah tidak wujud lagi. Manakala Tun Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri yang tidak berparti ketika itu.

Dengan kuasa yang ada pada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri maka beliau mampu membuatkan usaoha Tengku Razaleigh untuk menubuhkan Umno semula terbantut. Akibatnya Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 manakala Tun Dr Mahathir menubuhkan Umno Baru. Menariknya penubuhan Umno Baru itu menyaksikan semua team A berada dalam saf kepimpinan serta menjemput Tun Abdullah Ahmad Badawi dari team B. Tun Musa Hitam kekal bersama Umno. Parti S46 pimpinan Tengku Razaleigh telah bergabung dengan parti pembangkang seperti Pas dan Berjasa (menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah) serta bergabung dengan DAP serta parti tempatan Sabah dengan nama Gagasan Rakyat. Startegi ini membolehkan APU menawankan Kelantan dari BN, manakala Umno Baru kekal menerajui BN dan Kerajaan Persekutuan.

Akhirnya pada tahun 1995, selepas beberapa krisis Tengku Razaleigh (S46) dan Pas berlaku menyebabkan S46 telah dibubarkan dan Tengku Razaleigh menyertai Umno semula hingga kini.

Beberapa perkara yang ingin ditekankan di sini ialah:

Kewujudan team A dan team B dalam pemilihan UMNO 1987, telah memberikan kelebihan politik pada Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau menyebelahi team A dan cepat naik ke puncak kuasa.

Pengaruh Datuk Seri Najib Tun Razak yang dulunya orang Tengku Razaleigh Hamzah telah menjadi penentu kemenangan team A apabila saat akhir, beliau membuat pusingan U menyokong team A.

Pakatan politik yang wujud antara Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam telah membuktikan bahawa politik itu sentiasa dinamik berubah-ubah mengikut keadaan semasa.

Inilah lipatan sejarah yang harus diketahui oleh anak-anak muda tentang perjalanan politik parti melayu terbesar dan berpengaruh ini. Melihat kepada ibrah yang boleh diambil untuk terus mara sebagai ahli politik yang sejati kelak.

 

Penulis adalah AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor merangkap Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak