Malaysia Dateline

Krisis Yaman : MyCare serah 500 pek bantuan makanan

Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)

 

Humanitarian Care Malaysia (MyCare) menyerahkan 500 pek makanan dan lima lori bekalan air bersih dalam misi bantuan kemanusiaan di Yaman selama 10 hari mulai 14 Jan lepas.

Pengurus projek MyCare, Noorsyazly Rameli berkata pihaknya telah menyerahkan pek makanan di beberapa khemah pelarian di sekitar Bandar Ma’rib, Mutoon Al Jawaf, Amran serta beberapa penempatan kecil berdekatan.

Beliau berkata sebanyak 500 keluarga telah menerima bantuan pek makanan berisi tepung 25 kilogram (kg), beras 10kg, gula 10kg, pes tomato 70 pek, kacang fasolia 12 tin dan minyak 1.8 liter.

“Krisis kebuluran ini menyebabkan majoriti rakyat Yaman kekurangan zat makanan terutama kanak-kanak yang berisiko untuk maut.

“Ketika saya menyertai misi ini pada 14 Jan lepas, keadaan pelarian di Yaman tidak terurus, pakaian kanak-kanak yang kotor, kesukaran mendapatkan sumber air bersih serta berlaku ribut pasir berdebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsyazly berkata pada misi itu, seramai 80 buah keluarga pelarian terpaksa berkongsi bekalan air bersih yang mampu bertahan selama tiga hari untuk menjalani kehidupan harian.

Rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi http://www.billplz.com/kecemasanyaman.- BERNAMA