Malaysia Dateline

Kritik kerajaan pintu belakang, Syed Saddiq dipanggil ke IPD

Satu demi satu pemimpin Pakatan Harapan (PH) mula dipanggil bagi membantu siasatan pihak polis.

Terbaharu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bukit Aman.

Menurut maklumat dari pegawainya, Saddiq diambil keterangannya berkenaan temubual beliau bersama Mehdi Hasan dalam rancangan UpFront di saluran berita Al Jazeera pada 6 Mac lalu.

Makluman awal yang dimaklumkan, ahli Parlimen Muar itu akan diambil keterangan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“YB Syed Saddiq akan memberi kerjasama penuh dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Apa-apa kemaskini saya akan maklumkan,” kata pegawainya.

Terdahulu, selepas PH tumbang lewat Februari lalu, Saddiq dalam temubual bersama Al Jazeera meluahkan kekecewaanya apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan mengkhianati asas penubuhan parti apabila bekerjasama dengan kalangan kleptokrat.

Beliau mendakwa, Muhyiddin yang digelarkannya ‘abah’ telah menubuhkan kerajaan pintu belakang tanpa pengetahuan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam temubual 10 minit itu, Saddiq turut menceritakan tentang ancaman yang dihadapinya ketika menentang kleptokrat serta ganjaran wang yang ditawarkan jika menyertai kelompok itu.

“Apa yang menyedihkan saya hari ini adalah pemimpin saya dan ‘abah’ saya sendiri telah membuka pintu kerajaan dan demokrasi Malaysia, kepada golongan kleptokrat sama yang mengancam saya dan keluarga; kleptokrat sama yang mengancam beliau dan keluarganya,” katanya lagi.