Malaysia Dateline

Kritik Robert Kuok bukan punca kemerosotan undi Cina PRU14, jelas Nazri

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan bahawa kenyataannya mengkritik hartawan Cina, Robert Kuok bukan penyebab parti MCA kalah pada Pilihanraya Umum 14 (PRU 14) yang lalu.

Beliau menafikan kenyataan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang membuat kenyataan bahawa kritikan melampau Nazri terhadap hartawan Robert Kuok menyebabkan undi masyarakat Cina merosot pada PRU14.

Katanya, trend masyarakat Cina tidak menyokong MCA sudah pun wujud dari awal.

“Dia kalah kerana masyarakat Cina dah tak sokong dia. Dari tahun 2004 mereka peroleh 37 kerusi jatuh ke 15 kerusi pada tahun 2008. Kemudian pada 2013, tinggal 7 kerusi.

“Saya rasa Najib perlu periksa fakta sebenar. Kenyataan sebenar ialah saya menyokong kenyataan awal beliau yang mengkritik Robert Kuok yang mendapat banyak projek daripada kerajaan tapi akhirnya tidak menyokong kerajaan.

“Kalau tak pertahankan Najib pasal kenyataan berpuak-puak tu pun, mereka (MCA) tetap kalah lah. Kita tak boleh buat apa,”katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Tambahnya, kekalahan MCA pada Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) lalu bukan disebabkan kenyataan yang dikeluarkan terhadap hartawan itu.

“Dia (Najib) yang mula-mula buat kenyataan itu dan saya hanya keluar kenyataan mempertahankan dia. Tapi akhirnya kita semua tahu bahawa Robert Kuok memang menyokong DAP,” katanya.

Semalam, Najib berkata MCA memaklumkan kepadanya kritikan melampau Nazri terhadap hartawan Robert Kuok menyebabkan undi masyarakat Cina merosot pada PRU14 lalu.

“Kita masih ingat lagi Nazri sebelum ini pernah menolak kerjasama dengan Pas ini tidak lama dahulu sebaliknya dia menggesa Umno untuk bekerjasama dengan DAP dan ketepikan MCA dan MIC.

“Kalau nak sebut soal pilihan raya pula, MCA sebelum ini memaklumkan kepada saya antara sebab undi Cina merosot kerana kritikan keterlaluan beliau terhadap Robert Kuok sehingga menyebabkan orang Cina tersinggung dengan apa yang telah dilakukan oleh beliau,” katanya.