Malaysia Dateline

Kritik Sultan Johor, pengurus media sosial Noor Khan International Sdn. Bhd disiasat

Ekoran akaun Intagram milik seorang ibu selebriti popular mengkritik Sultan Johor Sultam Ibrahim Sultan Iskandar, polis Brickfield melakukan siasatan berhubung perkara itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar, pihaknya menjalankan siasatan selepas ibu selebriti, terbabit membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail di ibu negara pada 5.44 petang semalam.

“Hasil siasatan mendapati seorang wanita berumur 32 tahun mengaku telah tersilap menggunakan Instagram ibu selebriti itu dengan membuat kapsyen berbentuk kritikan di Instastory akaun Instagram tersebut,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes ini dalam siasatan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan di bawah seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Semalam satu laporan polis dibuat berhubung paparan di Instagram ibu selebriti Neelofa, Noorkartini yang memaparkan gambar visual Sultan Johor beserta kapsyen “kalau prihatin suruh la agong batalkan darurat!!!Cakap je lebih!!!”.

Susulan penularan perkara berkenaan, usahawan itu kemudian tampil dengan kenyataan menjelaskan bahawa apa yang berlaku adalah disebabkan kecuaian seorang pekerjanya yang mempunyai akses mengendalikan akaun Instagramnya.

Noorkartini mengaku perkara tersebut berlaku atas kecuaian salah seorang pekerja yang mempunyai akses kepada Instagram beliau.

Wanita terbabit katanya, merupakan pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn. Bhd dan secara tidak sengaja telah memuat naik InstaStory tanpa sedar menggunakan akaunnya (@noorkartini).