Malaysia Dateline

Kritik TMJ: Tamrin Ghafar beri kerjasama penuh di Bukit Aman

Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar Baba hari ini hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas laporan polis dibuat oleh orang awam berhubung artikelnya yang mengkritik Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tamrin yang diambil keterangannya selama tiga jam hari ini berkata, laporan dibuat berdasarkan artikel yang disiarkan di laman sosial Facebook yang menurutnya bukan dari akaunnya sendiri.

“Tindakan ini diambil berdasarkan kepada satu laporan yang dibuat di Johor oleh satu orang (awam) dari Majidee. Jadi pihak polis terpaksalah menjalankan tugas mereka.

“Artikel tersebut telah disebarkan melalui Facebook yang kami kenalpasti ‘fan page’ yang menggunakan nama saya.

“Berlandaskan 36 perkara yang saya tulis dalam artikel itu, saya disoal semua satu persatu tentang apa maksud saya,” katanya dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Beliau hadir bersama peguamnya  Mohd Azharul Abd Talib.

Kehadiran beliau dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menerusi blog peribadinya, bertajuk, ‘TMJ – Bodoh Sombong Yang Tak Boleh Diajar’ yang dimuat naik pada 1 Februari lalu.

Tulisan tersebut kemudian dimuat naik di Facebook Dato’ Mohd Tamrin Tun Abdul Ghafar pada 2 Februari yang mengandungi 36 perkara berkaitan TMJ.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya akan membuat satu tulisan baharu bertajuk ‘Saya ke Bukit Aman Sekali Lagi’ ekoran kes hari ini selepas beliau dipanggil pihak polis.

Tambah anak kepada Bekas Timbalan Menteri itu lagi, dirinya juga tidak menerima apa-apa ugutan dari pihak istana Johor berhubung posting terbabit.

“Saya tak terima (ugutan). Dari sana (Istana Johor) baik, tidak ada apa-apa.

“Lagipun, kita ada undang-undang. Kalau dia ‘cross the line’, dia kena lah,” katanya.

Terdahulu, dalam tulisannya itu, Tamrin mengkritik TMJ berkaitan pemangku Sultan Johor di laman Facebook baru-baru ini mengenai wabak koronovirus apabila Tunku Ismail mengingatkan semula apa yang baginda pernah lontarkan dua tahun lalu.

“Saya hanya beritahu tadi (semasa beri kenyataan), saya kata apabila pilihanraya yang lepas rakyat menolak Umno-bn yang disokong sebelum ini oleh sultannya itu, maknanya rakyat hilang kepercayaan dan hormat kepada raja.

“Mereka tak peduli apa yang raja mahu. Tapi saya ingatkan tadi kalau Umno-Bn ini rakyat Johor boleh buang selepas 62 tahun memerintah, rakyat Johor juga boleh buang kerajaan Pakatan harapan di johor yang ada ini kalau dia tak ‘perform’,” ujarnya.

(kiri) Mohd Azharul Abd Talib dan (kanan) Datuk Tamrin Ghafar