Malaysia Dateline

Antonio Guterres

Kritikan Ketua PBB sama apa yang berlaku di Malaysia, kata Guan Eng

Kritikan Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres yang mengecam tindakan negara-negara yang menggunakan Covid-19 untuk menghalang perbezaan pendapat dan menguasai media, seolah-olah dituju kepada kerajaan Malaysia.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, walaupun PBB tidak menyebutkan mana-mana negara, namun Guterres menggambarkan situasi yang sama di Malaysia.

Lim merujuk kepada ucapan Guterres yang menyatakan ‘terdapat negara yang menggunakan wabak Covid-19 sebagai dalih, pihak berkuasa di beberapa negara telah menggunakan tindakan keselamatan dan darurat untuk menghalang perbezaan pendapat, mengkriminalisasi dasar kebebasan, mendiamkan laporan bebas dan mengurangkan aktiviti pertubuhan bukan kerajaan’.

“Disebalik penurunan kadar kebebasan hak asasi manusia, kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2020 telah merosot dengan Malaysia jatuh enam anak tangga ke 57.

“Hasil kebebasan hak asasi yang semakin dikekang dan penggantungan Parlimen, ia telah menyebabkan peningkatan amalan rasuah.

“Kita boleh menjangkakan kedudukan CPI Transparency International Malaysia akan semakin merosot tahun ini. Justeru itu, kita perlu mengembalikan sidang Parlimen agar suara rakyat biasa dapat didengar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.