Malaysia Dateline

Kritikan lantikan Latheefa ada merit, yakin PM boleh selesai, kata Hanipa.

Timbalan Menteri Undang-undang Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berpendapat, pelbagai kritikan dilemparkan ke atas pelantikaan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahana Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai merit yang kuat.

Beliau percaya kerajaan di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan berpegang teguh kepada prinsip demokrasi serta kedaulatan undang-undang.

“Beberapa pihak seperti Majlis Peguam dan Bersih 2.0 juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang juga boleh dikatakan bersifat kritikal terhadap pelantikan tersebut. Secara jujur ,saya melihat ada merit yang agak kuat pada alasan mereka.

“Ada juga pihak yang menyatakan, mengambil kira perkiraan latar-belakang saudari Latheefah sebagai peguam hak asasi manusia sebelum ini, maka jawatan yang lebih sesuai dan wajar bagi beliau adalah sebagai Ketua Suruhanjaya di badan Hak Asasi Manusia Malaysia ( Suhakam) dan bukannya SPRM.

“Saya percaya, tidak akan diperlecehkan begitu sahaja ‘suara-suara’ tersebut. Saya juga percaya Kerajaan Malaysia bukanlah Kerajaan yang memandang mudah terhadap janji-janji dalam manifesto seperti mungkin Kerajaan sebelum ini.

“Saya juga percaya YAB PM juga penuh sedar bahawa beliau kini memimpin Malaysia Baharu di bawah PH dan bukan memimpin Malaysia di bawah order lama BN.

“Ini boleh dilihat dalam pelbagai insiden sebelum ini misalnya dalam pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen ( PAC ),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hanipa lagi untuk berlaku adil kepada Dr Mahathir pihak yang mengkritik pelantikan Peguam dan Pengarah Eksekutif Lawyer For Liberty serta bekas ahli PKR itu, sewajarnya perlu sedar bahawa jawatan PM juga ada bersamanya keistimewaan.

“Keistimewaan tertentu ( certain privileges ) yang mungkin tidak ada pada jawatan lain. Ya, sudah tentu kita semua tidak mahu melihat YAB PM ‘menyalahgunakan’ hak istimewa tersebut dan saya juga tidak nampak bagaimana ia boleh ‘disalahgunakan’.

“Justeru itu saya yakin dan percaya YAB PM dan para anggota kabinetnya serta pemimpin tertinggi PH insyaAllah akan berjaya menyelesaikan kemelut ini dengan baik dan berhemah,”katanya lagi.

Hanipa yang bercakap atas kapasitinya sebagai timbalan menteri undang-undang menambah, beliau turut menerima banyak mesej dan aduan dari pelbagai pihak mengenai pelantikan Latheefa Koya.

“Aduan yang saya terima kebanyakannya berkisar lebih kepada isu proses pelantikan tersebut. Antaranya, isu dakwaan ketiadaan ketelusan dan konsultasi yang sepatutnya ( the alleged absence of transparency and proper consultation ), isu dakwaan perlanggaran janji bertulis di dalam buku Manifesto Pakatan Harapan ( PH) , isu ketiadaan perbincangan dalam Kabinet ‘an/atau Majlis Presiden PH , isu kebimbangan ‘lack of impartiality” di pihak saudari Latheefah, mengambil kira latarbelakang beliau, dan pelbagai isu yang lain.

“Saya berani menyatakan majoriti mesej dan aduan yang saya terima, pada dasarnya, tidak mempertikaikan kelayakan atau kewibawaan saudari Latheefah untuk memegang jawatan penting tersebut.

“YAB PM menggunakan alasan ketegasan saudari Lateefah, antara lain, sebagai alasan kepada pelantikannya.

“Saya percaya majoriti rakyat boleh bersetuju dengan alasan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri tentang mengapa YAB memilih saudari Latheefah sebagai calon bagi menggantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang sebelum ini yang memilih untuk berhenti lebih awal dari tempoh yang sepatutnya,” ujarnya