Malaysia Dateline

Kritikan media perlu dirai jika mahu tamadun beretika

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keterbukaan dan kritikan media mesti diraikan dan dihormati jika mahu membangunkan tamadun yang beretika dan cemerlang.

Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang diingati setiap 3 Mei, beliau berkata wartawan dan media mesti diberi ruang dan kebebasan dalam melapor selaras dengan Perlembagaan yang menjamin hak itu.

Namun, katanya, berbeza keadaan di Malaysia ketika ini para wartawan dan pihak media diganggugugat serta diancam pendakwaan dalam menyampaikan laporan yang mungkin tidak enak pada halwa telinga pemerintah.

Di mana, seorang pembaca Berita Astro Awani disiasat oleh polis atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan menimbulkan kebencian terhadap pasukan polis.

Kertas siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Menurut Anwar, sambutan ini juga dapat meningkatkan kesedaran umum mengenai peri penting aspek kebebasan akhbar dalam mana-mana masyarakat yang terbuka dan demokratik.

“Ia juga meningatkan semua pihak akan tugas mereka untuk menghormati dan mendukung hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub di bawah Artikel 19, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.