Kronisme: Pemimpin Umno mahu SPRM siasat MOF, rakyat diseru boikot Petron

Kronisme: Pemimpin Umno mahu SPRM siasat MOF, rakyat diseru boikot Petron

Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi

Ketua Umno Bahagian Batu Pahat Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempertikaikan tindakan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)  melantik Petron Fuel International Sdn Bhd (Petron) antara pembekal petrol dan diesel kepada kenderaan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, Petron yang dikaitkan pemilikan syarikat oleh Datuk Mirzan Mahathir anak seorang perdana menteri, menambah satu lagi syarikat kroni dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak mengambil alih kerajaan terdahulu.

“Sepatutnya Petronas diberi keutamaan. Ia adalah GLC. Petronas selamanya memberikan hasil dan dividen kepada kerajaan.

“Menambah satu lagi syarikat kroni (Petron) sebagai pembekal menyebabkan hasil Petronas semakin kurang. Sedangkan Tun M masa membangunkan KLCC dan F1 dulu pun gunakan Petronas,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru beliau mewar-warkan agar rakyat memboikot ‘minyak Petron” di stesen-stesen minyak Petron seluruh negara.

“Lagi pun Petron bermula melalui syarikat “arak” San Miguel di Filipina. Dulu Rafizi pernah mencadangkan kempen boikot minyak Petron.

“Manakala Anwar pula pembidas kuat penguasaan syarikat arak tersebut yang membeli Esso sebelum ditukar kepada Petron. Ayuh boikot Petron sebagai tanda membantah nepotisme. #Boikot Petron,” ujarnya.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) ini, berkata, dengan melantik Petron selain Shell dan Petronas membuktikan Menteri Kabinet ketandusan moral dan intergriti manakala barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan (CEP) dakwanya, merestui kroni kapitalisme bermaharajalela.

“Bagaimana Petron antara yang terpilih? Apatah lagi Tun M baru 3 bulan jadi PM. Itu melibatkan syarikat anaknya. Semalam harga saham Petron naik memuncak 80 sen. SPRM wajar masuk menyiasat,” ujarnya.

Beliau berkata, tindakan terbaru kerajaan PH ini sebenarnya mencabar rakyat yang dijanjikan ketelusan dan menolak nepotisme.

“Kes terbaru ini umpama rompakan di siang hari. Beberapa hari selepas PRU 14, OPCOM Holding (Mokhzani Mahathir adalah Pengerusi/CEO) dapat kontrak dari Telekom Malaysia bernilai RM11.6 Juta.

“Apakah selepas ini Marina Mahathir pula dapat kontrak Kerajaan?” soalnya lagi.

Semalam Kementerian Kewangan menjelaskan pelantikan Petron Fuel International Sdn Bhd (Petron) bukanlah sebagai pembekal tunggal minyak petrol dan diesel kenderaan kerajaan.

Menurut kementerian itu, selain Petron, syarikat minyak Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Shell Malaysia masih lagi merupakan pembekal bahan api itu sejak 1997.

Pelantikan ini dibuat secara pentadbiran kerana ia adalah berkaitan dengan urusan operasi dan tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada Kerajaan.

Melalui kelulusan ini, kerajaan memperoleh lebih banyak pilihan di antara Petronas, Shell dan Petron dan dapat membuka peluang serta persaingan yang sihat di kalangan pembekal minyak petrol dan diesel

MOF menjelaskan, selain Petron, Shell juga dilantik sebagai pembekal petrol dan diesel kepada kenderaan kerajaan Persekutuan.

Sambung beliau lagi, “alasannya ialah untuk mengwujudkan harga yang kompetitif. Persoalannya kenapa tidak diberikan kepada Petronas sahaja, bukan Shell atau Petron.

“Sebelum ini saya mencadangkan tagline untuk Kerajaan PH ialah “Munafik & Nepotisme”. Saya juga mengatakan Tun M ada sindrom ISA (Ikut Suka Aku),” ujarnya.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS