Malaysia Dateline

Kronologi Asia beli Sandz Solutions pada harga RM75 juta

Kronologi Asia Bhd (KAB) menyertai perjanjian jual beli bersyarat dengan Desert Streams Investments Ltd bagi memiliki keseluruhan saham Desert Streams Investments dalam Sandz Solutions (Singapore) Pte Ltd, meliputi tiga juta saham biasa pada harga RM75 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, firma data pengurusan perusahaan (DMI) itu berkata, cadangan pembelian itu akan melengkapi segmen perniagaan semasa kumpulan berkenaan dan membolehkan ia mengembangkan perniagaannya, justeru meningkatkan prestasi kewangan dan kedudukannya.

KAB adalah pakar dalam peruntukan penyelesaian teknologi infrastruktur EDM dan perkhidmatan pengurusan EDM.

Kehadirannya di Asia Tenggara meliputi Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand, selain Hong Kong, Taiwan, India dan China.

KAB berkata, pengalaman dan rangkaian kumpulan Sandz di Filipina akan membolehkan kumpulan berkenaan mengukuhkan dan mengembangkan kehadirannya dalam menawarkan penyelesaian teknologi infrastruktur EDM di negara berkenaan.

Kumpulan berkenaan berkata, pertimbangan pembelian sebanyak RM75 juta akan dibiayai melalui pembayaran tunai RM5 juta dan terbitan sehingga 123.57 juta saham biasa baru KAB pada harga terbitan 56.65 sen sesaham.

Apabila ia dilengkapkan, Sandz akan menjadi anak syarikat milik penuh KAB dan cadangan pembelian itu dijangka memberi sumbangan yang positif kepada keuntungan kumpulan pada masa depan.

— BERNAMA