Kronologi pembunuhan Kim Jong-Nam & penahanan rakyat M’sia di Korea Utara

Kronologi pembunuhan Kim Jong-Nam & penahanan rakyat M’sia di Korea Utara

Pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, telah menyebabkan hubungan diplomatik antara dan Korea Utara berada dalam keadaan tegang.

Berikut ialah urusan peristiwa yang berlaku sepanjang 46 hari krisis itu berlarutan yang diselubungi ketidakpastian sejak 13 Feb.

13 Feb: Seorang lelaki rakyat Korea Utara berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk menaiki penerbangan yang dijadual berlepas pada 9 pagi ke Macau. Dia tidak melalui kaunter imigresen. Seorang wanita tiba-tiba datang dari belakang dan melumur mukanya dengan cecair. Dia kemudian mendapat bantuan di kaunter khidmat pelanggan klia2 untuk dihantar ke hospital. Dia dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

14 Feb: Media antarabangsa yang mula sekali melaporkan bahawa Kim Jong-nam dibunuh di Malaysia pada Isnin. Pada 11 malam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan mengenal pasti lelaki warga Korea Utara itu sebagai Kim Chol berdasarkan nombor pasportnya 836410070. Lelaki itu dilahirkan di Pyongyang pada 10 Jun, 1970.

15 Feb: Seorang suspek wanita yang memiliki pasport Republik Sosialis Vietnam ditahan di klia2, tertera nama “Doan Thi Huong”, 29.

Mayat lelaki warga Korea Utara itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk post mortem. Mayatnya disimpan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), HKL.

16 Feb: Seorang lagi wanita ditahan pada 2 pagi, dikenali sebagai Siti Aishah, pemegang pasport Indonesia. Mengikut butiran dalam pasportnya, dia lahir pada 11 Feb, 1992 dan tempat lahirnya ialah Serang, Indonesia.

* Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri mengesahkan bahawa lelaki warga Korea Utara yang mati di klia2 pada Isnin ialah Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Jong-un, orang sama yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol.

18 Feb: Polis menahan lelaki rakyat Korea Utara berusia 47 tahun Ri Jong-chol, yang dikenal pasti sebagai ahli kimia yang bekerja di jabatan IT sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

19 Feb: Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid berkata polis sedang memburu tujuh lagi suspek warga Korea Utara berhubung pembunuhan itu. Rakaman melalui CCTV yang menunjukkan detik Jong-nam diserang dan peristiwa yang menyusul sehingga kematiannya, bocor dalam Youtube.

Empat suspek — Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55 dan Ri Jae Nam, 57 — meninggalkan negara.

Tiga lagi suspek termasuk seorang lelaki rakyat Korea Utara berusia 30 tahun dikenal pasti sebagai Ri Ji U, 30. Dua suspek lain belum dikenal pasti.

20 Feb: Korea Utara mencadangkan siasatan bersama dengan Malaysia bagi menyiasat pembunuhan Jong-nam. Dutanya ke Malaysia, Kang Chol, berkata cadangan itu dikemukakan selepas “banyak persoalan dan percanggahan” timbul semasa siasatan terhadap kematian Jong-nam.

21 Feb: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia bukan alat mana-mana negara dan berpegang teguh kepada prinsip undang-undang dalam siasatan terhadap pembunuhan Jong-nam.

Beliau berkata sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tidak boleh dipaksa atau dibuli dalam apa-apa bentuk tindakan yang dianggap sebagai tidak wajar.

Duta Besar Malaysia ke Korea Utara Mohamad Nizan Mohamad, yang dipanggil pulang ke Kuala Lumpur untuk berunding, tiba di Malaysia.

22 Feb: Polis Malaysia menolak cadangan pihak berkuasa Korea Utara bagi siasatan bersama terhadap pembunuhan Jong-nam. Mereka percaya keempat-empat suspek yang telah kembali ke Korea Utara memainkan peranan penting dalam pembunuhan itu.

Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di KL, yang menjadi suspek dalam siasatan, dikenal pasti sebagai Hyon Kwang-song, 44, sementara seorang lagi suspek ialah Kim Uk-il, 37, kakitangan syarikat penerbangan Korea Utara, Koryo Air.

23 Feb: Pihak berkuasa Malaysia berkata Kuala Lumpur mematuhi protokol antarabangsa bagi mendapatkan kerjasama seorang pegawai kedutaan Korea Utara dalam siasatan. Polis menghantar permintaan itu kepada kedutaan melalui Kementerian Luar memohon bantuan Kwang-song untuk membantu siasatan.

24 Feb: Bahan kimia yang dianalisis dalam siasatan pembunuhan Jong-nam dikenal pasti sebagai “ejen saraf VX”. Bahan toksik itu ialah senjata berbahaya dan disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1 Akta Konvensyen Senjata Kimia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.

1 Mac: Dua wanita warga asing didakwa di Mahkamah Majistret di Sepang kerana membunuh Jong-nam.

3 Mac: Jong-chol dihantar pulang selepas dibebaskan kerana tidak cukup bukti untuk mendakwanya atas pembunuhan itu.

4 Mac: Kerajaan Malaysia mengisytiharkan dutra Korea Utara Kang Chol sebagai “Persona Non Grata” (orang yang tidak diingini) dan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara ini.

6 Mac: Kang Chol, meninggalkan Malaysia berikutan arahan pengusiran ke atasnya.

7 Mac: Kerajaan Korea Utara melarang rakyat Malaysia di Korea Utara daripada meninggalkan negara itu sehingga keselamatan diplomat dan warganya di Malaysia terjamin sepenuhnya.

Majlis Keselamatan Negara (MSN) mengadakan mesyuarat tergempar dipengerusikan oleh Perdana Menteri susulan tindakan Korea Utara melarang 11 rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

9 Mac: Dua rakyat Malaysia, kakitangan Pertubuhan Bangsa Bersatu dibenar meninggalkan Korea Utara.

10 Mac: Ketua Polis Negara mengesahkan bahawa lelaki warga Korea Utara yang dibunuh di klia2 pada 13 Feb yang namanya dalam pasport tertera sebagai Kim Chol, sebenarnya ialah Jong-nam.

Pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia yang dijadual berlangsung pada 28 Mac di Pyongyang ditunda ke tarikh lain.

13 Mac: Polis percaya dua lelaki warga Korea Utara yang dikehendaki untuk membantu siasatan kes pembuuhan Jong-nam masih bersembunyi di kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara.

14 Mac: Ahmad Zahid berkata kerajaan akan menghantar pulang 50 rakyat Korea Utara di Sarawak yang tempoh permit kerja mereka telah berakhir.

15 Mac: Timbalan Perdana Menteri berkata identiti Jong-nam disahkan melalui sampel DNA anak lelakinya.

16 Mac: Polis menerima notis merah Interpol bagi menangkap empat rakyat Korea Utara berhubung pembunuhan Jong-nam.

28 Mac: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengesahkan bahawa mayat Jong-nam masih berada di IPFN.

30 Mac: Perdana Menteri mengumumkan bahawa sembilan rakyat Malaysia yang dilarang daripada meninggalkan Korea Utara dibenarkan kembali ke Malaysia. Mereka berlepas dari Pyongyang hari ini pada 7.45 malam waktu Malaysia dan dijangka tiba di Kuala Lumpur esok kira-kira 5 pagi.

Susulan perkembangan itu, perdana menteri berkata Malaysia sekarang membenarkan rakyat Korea Utara di Malaysia meninggalkan negara ini.

Koroner telah meluluskan pelepasan mayat Jong-nam selepas selesai autopsi ke atas si mati dan menerima surat daripada keluarganya memohon mayatnya dibawa pulang ke Korea Utara.

TAGS