Kepimpinan pada peringkat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) diingatkan supaya bersedia menghadapi pelbagai cabaran masa kini yang sentiasa menggugat persepsi masyarakat terhadap perpaduan antara kaum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Senator P. Waytha Moorthy berkata sebarang bentuk kebencian dan penghinaan terhadap definisi hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu ditolak.
“Peranan kita sebagai satu masyarakat perlu ditingkatkan dalam usaha memperbaiki budaya cara hidup bermasyarakat yang dapat mengasaskan corak kepimpinan yang diterima oleh masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival #Perpaduan Di Hatiku peringkat daerah Kuala Muda hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Waytha Moorthy berkata kemerdekaan dan kebebasan pada hari ini bukan lagi hanya perlu dipertahankan daripada cabaran tradisi seperti peperangan namun lebih penting adalah dengan mempertahankan semangat perpaduan yang menjadi asas kepada kejayaan yang telah dicapai selama ini.
“Marilah kita bersama-sama berusaha menjayakan Malaysia baharu yang lebih inklusif dan benar-benar saksama melalui pengukuhan perpaduan demi meneruskan legasi kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar majmuk bagi tahun-tahun yang akan mendatang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Malaysia bersama-sama menjiwai dan menghidupkan intipati Rukun Negara yang menjadi tunjang peradaban serta kemakmuran negara.
“…saya percaya, jika generasi hari ini dapat mewarisi benih perpaduan sebenar, ia mampu mewujudkan masyarakat bersatu padu sekali gus menjunjung cita-cita yang termaktub di dalam Rukun Negara,” katanya.
— BERNAMA