Malaysia Dateline

KSN nafi akan berlaku pertukaran beberapa KSU kementerian

 Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ismail Bakar menafikan akan berlakunya pertukaran beberapa ketua setiausaha (KSU) kementerian dalam masa terdekat.

Beliau berkata laporan berhubung perkara itu yang dikeluarkan oleh sebuah portal berita semalam adalah tidak benar dan ia hanya berupa persepsi sesetengah pihak.

“Itu semua persepsi,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) ke-28 pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan portal berita “The Malaysian Insight’ bahawa lima KSU dijangka ditukarkan pada hujung tahun ini bagi melancarkan lagi operasi kementerian terlibat.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya pada konvensyen tersebut, Ismail mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa patuh kepada kerajaan semasa tanpa mengira parti mana yang mentadbirnya.

“Kita sebagai penjawat awam yang dilantik sudah berikrar bahawa kita mesti patuh kepada kerajaan untuk membina bangsa dan negara yang cemerlang pada masa akan datang.

“Integriti mesti dikekalkan …sebagai pelaksana, kita jalankan tugas dengan berintegriti supaya rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik,” katanya.– BERNAMA