KTM komuter diserang pengguna

KTM komuter diserang pengguna

 

Ekoran kelembapan KTM komuter lewat petang semalam ratusan penumpang pengangkutan awam itu turut meluahkan rasa tidak puas hati di laman Facebook rasmi KTM Berhad.

Rata-rata pengguna kecewa kerana masalah ketibaan tren mencecah lebih tiga jam dan paling menyakitkan hati apabila tiada pengumuman dari semasa ke semasa tentang langkah seterusnya.

Turut mengundang berang penumpang apabila staf di kaunter tiket KTM komuter tidak memberi jawapan yang sewajarnya sekali gus dilihat tidak menghormati hak pelanggan.

Pihak KTM dalam status yang dimuat naik pukul 8 malam tadi hanya memberitahu kejadian talian atas yang terputus pada sebelah petang di antara Rawang – Kepong telah kembali pulih.

Tinjauan Malaysia Dateline di laman media sosial rasmi KTM Berhad itu menyaksikan kebanyakan pengguna menganggap perkhidmatan komuter terlalu kerap menghadapi masalah sama.

Semalam, penumpang memberitahu sehingga pukul 8 malam tadi masih terkandas di KL Sentral. Keadaan sesak dapat disaksikan di stesen komuter Sungai Buloh.

Penumpang yang destinasinya ke Tanjung Malim terpaksa turun di KL Sentral manakala kekerapan tren tiba di stesen komuter Rawang adalah sejam sekali.

{loadposition myposition} Nurul Elena Atasha berpendapat pihak KTM harus menyelaraskan penggunaan bas bagi memastikan pergerakan penumpang lancar selepas tren tidak tiba berjam-jam.

“Tidaklah berebut tolak-menolak. Kasihan pada mereka yang sudah berusia,” luahnya.

 Sehubungan itu, terdapat pengguna menyarankan pengurusan tertingi mengambil inisiatif melakukan potongan tambang antara 20 sehingga 50 peratus sebagai bukti bertanggungjawab atas kesulitan dialami penumpang.

Mohd Shahmir Madsa berkata, pemotongan itu bagi menunjukkan tahap kebersalahan KTMB kepada semua penumpang komuter.

Untuk rekod, Pengerusi KTM Berhad disandang Datuk Nawawi Ahmad yang juga Ahli Parlimen Langkawi merangkap Ketua Umno Bahagian Langkawi.

CATEGORIES
TAGS