KTMB sedia perkhidmatan bas untuk laluan tren terjejas banjir

KTMB sedia perkhidmatan bas untuk laluan tren terjejas banjir

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan perkhidmatan bas sekiranya laluan tren tidak dapat digunakan berikutan banjir.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata bagaimanapun, KTMB akan sentiasa memantau keadaan semasa bagi memastikan operasi perkhidmatan tren di semua laluan selamat digunakan.

“Sekarang ini laluan keretapi berjalan seperti biasa, jika berlaku keadaan tidak selamat untuk keretapi beroperasi, perkhidmatannya akan dihentikan buat sementara waktu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Akademi Keretapi Tanah Melayu Ke-4 di Akademi KTM hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil KTMB kepada 226 graduan akademi tersebut.

Pada Khamis lepas, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memberi amaran gelombang banjir kedua dijangka berlaku pada 25 dan 26 Dis ini, ia dikhuatiri bertembung dengan air pasang besar di laut perairan Kelantan.

Dalam perkembangan berlainan, Kamarudin berkata setakat ini sebanyak 77,382 daripada 143,986 tiket yang ditawarkan KTMB menjelang sambutan Tahun Baharu Cina 2020 telah habis terjual.

“Ia meliputi pelbagai destinasi di seluruh Semenanjung Malaysia. Tiket untuk perjalanan 22 hingga 24 serta 27 dan 28 Jan telah habis terjual. Sekiranya terdapat permintaan melebihi jangkaan, KTMB akan bersedia menyediakan perkhidmatan tambahan,” katanya.

— BERNAMA