Malaysia Dateline

Ku Li dapat jumlah sokongan lebih besar dari Anwar?

Sekurang-kurangnya 24 daripada 39 ahli Parlimen Umno dikatakan menyokong Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Perdana Menteri.

Memetik laporan Astro Awani, antara pemimpin Umno yang menyokong Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li itu ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

“Jika dicongak dan dilihat kepada jumlah sokongan, gerakan Ku Li ini mempunyai sokongan lebih besar dalam kalangan Ahli Parlimen Umno.

“Sekurang-kurangnya 24 daripada 39 ahli Parlimen Umno sokong beliau sebagai calon perdana menteri.

“Bila kita tengok semula kem Zahid-Najib ini, mereka hanya mempunyai 15 sokongan Ahli Parlimen. Kebanyakan mereka ini adalah mereka yang telah didakwa atas kesalahan jenayah atau sedang menunggu hukuman,” lapor Astro Awani.

Dalam masa sama, gerakan Ku Li didakwa mempunyai sokongan yang jauh lebih besar daripada jumlah yang diperoleh Anwar.

“Selain lebih dari separuh ahli Parlimen Umno, difahamkan terdapat juga sokongan sebahagian wakil dari Pas, DAP, AMANAH, GPS (Gabungan Parti Sarawak), PKR dan Pejuang.

“Ikutkan, semua ahli Parlimen dari Pejuang ini menyokong Ku Li termasuk Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata sumber itu lagi.