Malaysia Dateline

Ku Li desak MP Umno tinggalkan kerajaan PN sekarang

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mendesak ahli-ahli Umno yang berada di dalam kabinet wajar berundur diri berikutan Bersatu bertindak membuka keahlian kepada bukan bumiputera.

Ini kerana, menurut beliau, Umno sudah tidak layak menjadi anggota pakatan Melayu-Islam yang hanya didukung oleh Muafakat Nasional.

“Umno tidak pernah menjadi anggota kerajaan PN, (sebaliknya) hanya memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan ini untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.

“Dengan berlakunya perubahan yang diumumkan oleh Bersatu, wajar ahli-ahli Umno yang menganggotai kabinet berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat Umno berkata, tindakan keluar dari kabinet itu perlu dilakukan secepat mungkin.

“Ini patut dilakukan secepat mungkin supaya kita tidak membuang masa seperti untuk memberi tumpuan kepada masalah-masalah yang lebih besar seperti kedudukan muda- mudi yang susah mencari pekerjaan dalam keadaan kita menghadapi pandemik Covid-19 yang mengancam negara pada masa ini.

“Lagipun perkara sebesar ini sepatutnya dibawa ke perhimpunan agung parti tidak lama lagi,” katanya.

Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan sayap baru parti Bersatu ditubuhkan bagi memberi ahli bersekutu bukan Melayu memegang jawatan.

Perkara itu dimaklumkan sebaik selepas Mohamed Azmin Ali secara rasminya menyertai Bersatu bersama-sama penyokongnya termasuk bekas pemimpin dan bekas ahli PKR dari kalangan bukan Melayu.

Muhyiddin turut mengemukakan usul penubuhan sayap berkenaan dalam Kongres Nasional lalu dan usul itu dipanjangkan ke Majlis Pimpinan Tertinggi dalam Perhimpunan Agung Luar Biasa nanti.