Malaysia Dateline

Ku Li kekal tidak sertai undian belanjawan

Tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah kekal dengan keputusannya sebelum ini untuk tidak menyertai undian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Gua Musang itu bersikap sedemikian selagi keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak diuji.

Pengerusi Lembaga Penasihat Umno berkenaan adalah salah seorang daripada lima Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir dalam dua undi belah bahagi mengenai peruntukan Belanjawan 2021 untuk Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan siang tadi.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ku Li menghadiri sidang hari ini tetapi pulang sebelum jam 2 petang ketika undi belah bahagi pertama dijalankan, lapor Malaysiakini memetik sumber dari pembantu Ku Li.

“Kita balik sebelum tu… Tengku Razaleigh dah kata dia tak akan turut serta dalam perbincangan belanjawan selagi dia tidak iktiraf keabsahan (kerajaan),” kata pembantu itu.

Dia menambah bahawa Ku Li itu akan terus tidak terlibat dalam undian selagi sokongan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan tidak ditentukan melalui usul tidak percaya.