Malaysia Dateline

Ku Li minta tukar tempat duduk

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meminta supaya kedudukannya di Dewan Rakyat dipindah ke blok Bebas yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini sejak 1986 itu berkata, beliau tidak pernah menyokong atau bersama-sama dengan kerajaan yang ditubuh menggunakan nama kerajaan PN.

Bahkan, pemimpin veteran Umno itu menegaskan pendiriannya untuk menukar tempat duduk itu berkaitan dengan kegagalan kerajaan PN diterajui Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

“Saya belum mengetahui sama ada anggota-anggota Dewan Rakyat lain daripada parti saya sudah berurusan dengan Yang di-Pertua mengenai tempat duduk mereka dalam Dewan Rakyat.

“Walau apa pun yang dilakukan oleh mereka ini, saya dengan sukahati mohon berpindah ke tempat lain yang sewajarnya, bersesuaian dengan semangat perjuangan Barisan Nasional (BN)/Umno terutama sekali pengundi saya, ahli Umno dan rakyat Malaysia supaya sedikit pun tidak boleh dianggap sebagai penyokong kerajaan gagal ini,” katanya.

Beliau yang dikenali sebagai Ku Li berkata demikian dalam satu surat makluman kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertarikh semalam.

Salinan surat makluman itu juga diserahkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Umno dan BN serta Penasihat dan Pengerusi Majlis Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC).

Sebelum ini, Ku Li menjelaskan beliau mengambil tindakan berkecuali daripada menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, namun menjelaskan masih kekal sebagai Ahli Parlimen Umno.

Akhir tahun lalu juga, Ku Li mengambil pendirian berkecuali dengan tidak hadir pada setiap sesi pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat.