Malaysia Dateline

Ku Li mula bina jaringan politik di Kelantan

Sempena Ramadhan ini, veteran politik Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengumpulkan pemimpin politik pembangkang di Kelantan untuk berbuka puasa.

Ia diadakan di rumah pribadi beliau, Palm Manor, yang terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu.

Tetamu utama di majlis ini adalah pemimpin dari AMANAH Kelantan yang diketuai sendiri oleh Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Muhammad Husain.

Turut serta adalah Datuk Wan Rahim Abdullah, AJK AMANAH Nasional serta pemimpin dari Pejuang, Putra dan juga DAP Kelantan.

Ku Li bergambar kenangan dengan pemimpin politik yang berbuka puasa bersama beliau di Palm Manor kelmarin.

“Menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Program Iftar Jamaie bersama YBM Tengku Razaleigh Hamzah.

“Turut serta barisan kepimpinan negeri dari pelbagai parti politik dan NGO yang bertapak di Kelantan,” catat Muhammad Husain menerusi facebook beliau selepas majlis berkenaan kelmarin.

Ustaz Muhammad Husain, Pengerusi AMANAH Kelantan yang turut serta di majlis berbuka puasa itu.

Bagi beliau, majlis ini adalah untuk menjalinkan hubungan baik dengan semua pihak di Kelantan.

“Demi masa depan rakyat dan negeri Kelantan yang lebih baik, semua pihak yang berkepentingan hendaklah sedia duduk semeja dan merangka pelan tindakan yang realistik dan berimpak tinggi serta bermanfaat kepada semua,” kata beliau.

Menjelang pilihan raya umum ke 15 yang dijangka seawalnya September tahun ini atau paling lewatnya tahun hadapan, parti-parti politik mula membuat jambatan antara satu sama lain.

Untuk negeri Kelantan, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li antara penggerak jaringan ini bagi melawan Pas.

Namun, tidak siapa tahu apakah yang akan berlaku di masa depan ketika banyak pihak merasa Pas mula goyah di Kelantan selepas lebih 30 tahun mentadbir negeri itu.

Ini kerana, Pas dilihat gagal menyelesaikan banyak isu keperluan rakyat dan negeri yang utama apabila hanya beretorik dengan agama sahaja, namun tidak ada sebarang kemajuan dan pelaksanaan.

Isu terbaru yang dihalakan kepada Pas adalah kemusnahan hutan simpan di negeri itu atas alasan untuk membangunkan semula hutan melalui ladang hutan.

Projek Ladang Hutan dianggap pelindung kepada cerita sebenar untuk mengambil balak secara licin dan meninggalkan tanah kontang tanpoa pokok.

Masalah air, kebersihan, pembangunan negeri dan hak royalti untuk kerajaan negeri juga ditimbulkan.

Ketika Kerajaan Pusat di perintah oleh Pakatan Harapan, Kelantan menerima RM400 juta wang royalti tetapi apabila kerajaan bertukar, tidak ada lagi royalti untuk Kelantan.