Malaysia Dateline

Ku Li perlu permit polis untuk sidang media petang esok

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li perlu mendapatkan permit polis untuk mengadakan sidang akhbar yang dijadualkan petang esok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu perlu berbuat demikian memandangkan negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Jelasnya, mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKP penuh, tiada sebarang perhimpunan dibenarkan sekalipun jumlah kehadiran dihadkan penganjur.

“Dia (Ku Li) perlu mendapatkan permit polis,” katanya lapor MalaysiaNow.

Sidang media Ku Li yang juga wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini sejak tahun 1986 itu dijadualkan berlangsung jam 3 petang esok di kediamannya di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, jemputan sidang media tersebut tidak memaklumkan isu apa yang bakal diketengahkan bekas Menteri Kewangan yang menyertai Umno pada 1962 itu.

Jumlah wartawan yang hadir pada sidang media itu juga dilaporkan terhad kepada 10 orang bagi mengelakkan kesesakan dan program itu juga akan disiarkan secara dalam talian.