Malaysia Dateline

Ku Li sedia jadi PM Interim jika dilantik

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak sekiranya beliau diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri interim.

Dalam temubual dengan Sinar Harian semalam, Ku Li berkata, sesiapa sahaja termasuk dirinya akan memikul tanggungjawab itu demi kepentingan rakyat sekiranya negara sekali lagi berdepan dengan krisis politik seperti yang berlaku pada Februari tahun lalu.

“Kalau dengar kepada banyak laporan takut kita hendak mencuba pun tetapi kalaulah itu menjadi tanggungjawab sesiapa sahaja mesti memikulnya kerana demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya pada program Bersama Ku Li yang disiar di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam program bual bicara yang berlangsung kira-kira sejam berhubung kesediaan beliau untuk menjadi Perdana Menteri interim sekiranya negara sekali lagi berdepan krisis politik.

Kenyataan ini dibuat oleh Penasihat Umno itu sebelum Majlis Tertinggi parti itu bermesyuarat malam tadi yang membuat keputusan menarik balik sokongan kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebagai perdana menteri.

Nama Ku Li kini naik berikutan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Datuk Seri Ahmad Najib Razak dikatakan tidak boleh menjadi PM kerana berhadapan dengan kes mahkamah. Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan pula bukan ahli Parlimen.