Ku Li, we know what you did last August…

Ku Li, we know what you did last August…

1. Ketua penerangan Umno Annuar Musa mungkin merasakan bahawa dirinya telah menyempurnakan satu ‘tugasan besar’ setelah berjaya meneutralkan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li menerusi Deklarasi Kelantan setelah beliau (Ku Li) dipalitkan dengan SD yang diedarkan di parlimen baru-baru ini untuk menyokongnya sebagai Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Najib Razak.

2. Setelah Semangat 46, Ku Li kembali semula ke dalam Umno pada 1996. Pasca pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ku Li adalah antara nama yang kuat disebut-sebut sebagai bakal menduduki jawatann Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Pada PRU 2008, BN kehilangan 2/3 majoriti dan ini mendorong Ku Li untuk memulakan langkah merapati pemimpin pembangkang dan ahli-ahli parlimen BN Sabah dan Sarawak dengan harapan boleh menduduki kerusi Perdana Menteri sekiranya wujud kelompangan dalam kepimpinan.

3. Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dipecat pada 28 Julai 2015. Pada dua minggu pertama Ogos 2015, Ku Li telah mula membina hubungan (engagement) dengan beberapa pemimpin dan tokoh dengan harapan dapat menggantikan Najib. Namun ia digagalkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang baru Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Ogos 2016.

4. Annuar Musa sepatutnya melakukan semakan terlebih dahulu dari Zahid sebelum mengambil tindakan yang hanyalah memalukan dirinya sendiri.

5. Logiknya, situasi politik dan imej buruk Perdana Menteri hari ini tidak akan memberikan sebarang faedah kepada Ku Li sekiranya beliau memilih untuk memihak kepada Najib. Kami tidak akan membuat sebarang spekulasi tentang apakah motif atau ganjaran yang bakal beliau perolehi dalam tindakannya menyokong penuh kepimpinan Najib!

6. Tindakan Annuar Musa yang menafikan penglibatan Ku Li dalam isu SD di parlimen sebaliknya mengaitkan SD itu sebagai ‘kerja’ DAP dan Tun Mahathir Mohamad hanyalah menyerlahkan kedangkalan serta kenaifan dirinya sendiri.

7. Samalah juga sepertimana Ku Li tidak perlu menafikan keinginannya untuk menggantikan Najib Razak sebagai Perdana Menteri!

8. Sepertimana dikatakan oleh Ketua Whip DAP merangkap Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, SD tersebut adalah bertujuan menjadi alternatif kepada undi tidak percaya di Parlimen terhadap Najib.

9. DAP memiliki 37 orang Ahli Parlimen dan kami terbuka untuk membincangkan idea berhubung ‘grand coalition’ untuk menyingkirkan Najib dan melakukan reformasi berasaskan prinsip demokrasi, keadilan dan tatakelola yang bersih.

10. Tetapi DAP tidak pernah mengambil sebarang inisiatif untuk mengangkat Ku Li sebagai Perdana Menteri apatah lagi menandatangani sebarang dokumen untuk hal tersebut.

11. Ku Li sewajarnya bersikap jujur untuk mengakui tindakan awal yang beliau ambil untuk menyingkirkan Najib, sekalipun pada masa ini beliau bertindak sebaliknya.

12. Kami tahu apa yang anda lakukan Ogos lalu!

Liew Chin Tong
Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan
Ahli Parlimen Kluang

TAGS