Ku Nan ceramah depan kerusi kosong

Program BN mendapat sambutan dingin penduduk Putrajaya.

Tular di media sosial sejumlah gambar program penyandang Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam yang lengang daripada kehadiran orang ramai.

Kelihatan lebih banyak kerusi putih kosong ketika Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berucap menggunakan mikrofon.

Bersama aksi tangan kanan masuk ke saku seluar, pemimpin BN yang dikenali sebagai Ku Nan itu berucap di hadapan kira-kira 50 orang termasuk kanak-kanak.

Sebilangan daripada hadirin pula kelihatan sedang menjamah makanan di dalam struktur khemah yang lengkap dengan penyaman udara itu.

Foto di lokasi pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu juga menunjukkan beberapa kotak barangan penyedut vakum berdekatan Ku Nan yang dipercayai hadiah bagi cabutan bertuah.

Sehubungan itu, pengguna media sosial menganggap sambutan dingin itu sebagai isyarat penolakan rakyat terhadap BN tidak terkecuali di Putrajaya.

Laporan Kajian Semula Persempadanan Kawasan Pilihan Raya yang diluluskan bulan lalu menunjukkan terdapat 17,627 pemilih berdaftar di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

BN di Putrajaya berdepan saingan sengit daripada Pakatan Harapan (PH) untuk mengelak kerusi yang dimenanginya sejak 2004 itu terlepas.

Tengku Adnan yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan sudah tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Putrajaya.

Pada PRU13, beliau memperoleh majoriti 5,541 undi ke atas Naib Presiden AMANAH, Husam Musa yang ketika itu Naib Presiden Pas.

Bagi PRU14 kali ini, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad antara calon PH yang disebut-sebut akan bertanding di Putrajaya.