Ku Nan diarah bela diri berhubung tuduhan terima rasuah
Mahkamah mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan kerana menerima rasuah.

Ku Nan diarah bela diri berhubung tuduhan terima rasuah

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor diperintah untuk membela diri berhubung pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan.

Ku Nan, 68 , bekas Setiausaha Agung Umno, atas kapasitinya selaku penjawat awam dituduh menerima RM2 juta daripada Chai Kin Kong, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas Sdn Bhd.

Cek tersebut didakwa didepositkan ke akaun bank CIMB milik Tadmansori Holding Sdn Bhd, di mana Tengku Adnan mempunyai kepentingan, dan diketahui bahawa syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016.

Tuduhan dibuat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa perbicaraan, pihak yang didakwa memberikan rasuah itu, Chai Kin Kong, mendakwa ada menerima resit dari Umno atas sumbangan RM2 juta itu.

Namun pendakwa membuktikan resit itu hanya dikeluarkan pada tahun 2018 walaupun tarikh pada ceknya adalah pada 2016.

Pihak pembelaan cuba membuktikan wang itu bukannya rasuah tetapi sumbangan untuk Umno.

Pihak pendakwa pula membuktikan tiada sebarang bukti ada kemasukan duit ke dalam akaun Umno dari syarikat Tadmansori Holding Sdn Bhd itu.