Ku Nan dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM hari ini
Ku Nan dipanggil ke SPRM petang ini.

Ku Nan dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM hari ini

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini.

Beliau diminta hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 2 petang bagi membantu siasatan kes 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seluas lebih 273 hektar bernilai RM5.63 bilion semasa beliau menjadi menteri Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, Tengku Adnan memberitahu Dewan Rakyat, beliau telah dipanggil lebih 12 kali oleh SPRM berhubung dengan 97 transaksi tanah di Kuala Lumpur itu.

Ekoran itu, Tengku Adnan dijangka akan didakwa di mahkamah berkait dengan siasatan itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

Selain Tengku Adnan, isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Sumber SPRM berkata selain Rosmah, turut dipanggil ialah bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.

“Kedua-dua mereka diarahkan hadir ke pejabat SPRM pada 9.30 pagi esok (hari ini) bagi membantu kes penyelewengan membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak,” katanya ketika dihubungi semalam, lapor Bernama.

Pada awal Jun, sebuah portal melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.