Malaysia Dateline

Ku Nan ditahan lokap SPRM, esok akan didakwa

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran siasatan ke atas penjualan 97 tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tengku Adnan ditahan ketika tiba di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya kira-kira pukul 3 petang hari ini.

Beliau yang juga bekas setiausaha agung Umno dan Ahli Parlimen Putrajaya dijangka akan didakwa esok berhubung urusan jual beli tanah yang meragukan melibatkan DBKL.

Bulan lalu, ketika bercakap dalam Dewan Rakyat, Tengku Adnan berkata beliau dipanggil SPRM lebih 12 kali untuk memberikan maklumat berhubung urusan pembelian tanah DBKL di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Beliau memberitahu Parlimen, beliau tiada kaitan dengan kelulusan untuk menjual tanah dalam wilayah persekutuan ketika memegang jawatan menteri itu.

“Ketika saya ambil alih kementerian (Wilayah Persekutuan) pada 2013, saya serahkan urusan tanah kepada Jabatan Perdana Menteri. Saya tiada kaitan dengan kelulusan berkaitan tanah di wilayah persekutuan,” beritahunya kepada sidang Dewan Rakyat ketika itu.

Kementerian Wilayah Persekutuan pimpinan menterinya Khalid Samad telah menubuhkan sebuah Pasukan Khas untuk menyiasat transaksi 97 tanah milik DBKL itu.

Semua maklumat hasil siasatan pasukan itu diserahkan kepada SPRM di samping mengambil tindakan dalam bidang kuasa kementerian itu termasuk merundingkan semula transaksi itu.

Hasilnya DBKL memperolehi RM147 juta hasil rundingan semula dengan pembeli dan pemaju tanah itu.

SPRM juga menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat 97 transaksi bernilai RM5.63 bilion, melibatkan 273.27 hektar tanah DBKL.

Sumber SPRM mengesahkan beliau akan ditahan semalaman dan akan didakwa esok berhubung urusan tanah melibatkan DBKL, lapor The Malaysian Insight.