Malaysia Dateline

Kuala Lumpur bakal dapat Datuk Bandar baharu

Satu surat daripada Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan tentang majlis perpisahan Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Majlis diberi nama, “Sesi Lambaian Perpisahan Datuk Bandar Kuala Lumpur” dijadualkan akan berlangsung di lobi Menara DBKL 1 di Jalan Raja Laut jam 4.30 petang ini.

Surat bertarikh semalam tersebut mengkehendaki warga kerja DBKL memberi penghormatan terakhir kepada Nor Hisham hari ini.

Nor Hisham, 64, menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-12 berkuatkuasa 1 Oktober 2018 untuk tempoh dua tahun.

Beliau berpengalaman selama 39 tahun dalam pelbagai agensi kerajaan di peringkat pusat dan negeri antaranya Pejabat Tanah Daerah Gombak, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Pada 26 September lalu, Nor Hisham dan Duta Besar Palestin merasmikan nama Jalan Palestin yang menggantikan nama Jalan Raja Laut 1 .

Menurutnya, cadangan untuk menukar nama jalan itu tercetus semasa Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei tahun lalu.

Jelasnya, Kementerian Wilayah Persekutuan ketika itu memohon kepada DBKL untuk menamakan sebatang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin.

Jawatan Datuk Bandar ibarat ‘kerusi panas’ kerana bertanggungjawab memikul cabaran menguruskan hal-hal perbandaran dan pembangunan ibu kota.

Keputusan mengenai pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah tertakluk kepada Perdana Menteri sebelum diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Bahagian II, Seksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.