
Kuala Lumpur juara keseluruhan badminton BTDP 2019
Kuala Lumpur muncul juara keseluruhan Program Pembangunan Bakat Badminton (BTDP) 2019 yang berlangsung di Arena Badminton Perak selepas memenangi empat pingat emas pada Ahad..
Dominasi pasukan Kuala Lumpur dilihat selepas menjuarai acara perseorangan perempuan 10 tahun, apabila Ong Xi Run menewaskan pemain Sarawak, Wendy Feebie Ricky 21-4, 21-13.
Kecemerlangan itu diteruskan rakan sepasukan, Chloe Lam Jing Yee yang memenangi acara perseorangan perempuan 11 tahun, selepas menundukkan Tan Xin Yu dari Selangor 21-15, 17-21, 21-19.
Dalam acara beregu perempuan 11 tahun pula, pasangan Lee Kay Xin/Teh Xin Ying berjaya menyingkirkan pasangan Sabah, Farizah Wirdani Fazil/Nurhayati Mohamed 21-10, 21-11.
Kuala Lumpur terus garang apabila menambah koleksi emas menerusi acara beregu campuran 12 tahun, apabila pasangan Low Hao Feng/Yap Jing Ning mengalahkan gandingan Sabah, Datu Anif Isaac Datu Asraf/Melody Chew Shi Qing 10-21, 21-15, 21-17.
Selain itu, Wilayah Persekutuan Labuan dinobatkan selaku kontinjen terbaik manakala Sarawak pula diumumkan sebagai negeri terbaik dalam penganjuran BTDP sejak mula diperkenalkan pada 2018. Sekolah Kebangsaan Rakyat, Alor Setar, Kedah pula telah dianugerahkan sebagai Pusat Latihan Terbaik.
BTDP dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).
Hadiah kepada semua pemenang disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dr Ahmad Rafee Che Kassim.
Ketika berucap, Zainal Abidin berkata BTDP bertujuan mewujudkan budaya sihat serta menggalakkan keseimbangan antara pendidikan, sukan serta kekeluargaan dalam kalangan pelajar sekolah.
Beliau berkata nilai positif itu seharusnya menjadi keutamaan dan sewajarnya dipupuk sejak usia muda untuk membina jati diri berkualiti.
“Apa yang menarik mengenai BTDP adalah kami tidak hanya melihat keupayaan para pelajar ini di atas gelanggang sahaja. Paling utama, kami ingin menerapkan nilai positif seperti hormat-menghormati, disiplin, tekad, semangat kesukanan, ketetapan masa, rendah diri serta penjagaan kebersihan diri dalam persekitaran,” katanya.
Selain itu, Zainal Abidin berkata, melalui penganjuran BTDP juga pihaknya dapat memberi peluang kepada para pelajar yang datangnya daripada keluarga kurang berada untuk mengasah bakat dan menceburi sukan yang diminati dengan harapan mereka boleh mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia dalam sukan badminton.– BERNAMA