Kualiti kepimpinan, Islamik yang memahami bukan Islam, punca bekas MP sertai AMANAH
Walaupun mereka adalah parti yang Islamik, tetapi mereka membuktikan dapat bekerjasama dan memahami orang bukan Islam dengan baik, kata Lau Yeng Peng (kanan sekali).

Kualiti kepimpinan, Islamik yang memahami bukan Islam, punca bekas MP sertai AMANAH

Kualiti kepimpinan AMANAH, sikap mereka yang mesra rakyat dan sedia bekerjasama dengan bukan Islam walaupun parti itu adalah Islamik mendorong bekas ahli parlimen Pucong dari Gerakan menyertainya.

Datuk Lau Yen Peng diperkenalkan kepada media sebagai ahli baru parti itu hari ini oleh presidennya, Haji Mohamad Sabu.

“Kami ingin memperkenalkan ahli AMANAH yang baru, Datuk Lu Yeng Peng, bekas ahli parlimen Sepang selama dua penggal yang menyertai AMANAH,” kata Mohamad ketika memperkenalkan bekas ahli Majlis Mesyuarat Pusat parti Gerakan itu.

Lau, bekas ahli Parlimen Sepang 2004 dan 2008 ketika bercakap kepada media berkata, kualiti kepimpinan AMANAH menjadi pendorong utama beliau menyertai parti itu.

“Saya menyertai AMANAH kerana kualiti kepimpinannya, sikap mereka yang mesra rakyat dan juga pendekatan AMANAH terhadap bukan Islam.

“Walaupun mereka adalah parti yang Islamik, tetapi mereka membuktikan dapat bekerjasama baik dan memahami orang bukan Islam dengan baik,” kata Lau kepada media selepas diperkenalkan kepada media ketika Konvensyen AMANAH Nasional ke 3 berehat tengahari tadi.

Selain beliau sendiri, Lau berkata, beliau sedang mengajak rakan-rakan ahli politik dan ahli perniagaan menyertai beliau dalam AMANAH.

Menurut Lau, beliau telah menyerahkan borang permohonan menjadi ahli AMANAH beberapa hari lalu di Ibu Pejabat AMANAH dekat Kuala lumpur.

Hari ini Lau datang sebagai tetamu Konvensyen ke 3 AMANAH di hotel Casuarina @ Meru, Ipoh.