Malaysia Dateline

Dr Puad Zarkashi

Kuarantin 3 hari untuk menteri: Muhyiddin kena minta maaf dari rakyat

Berikutan komen dan pandangan pakar-pakar kesihatan mengenai kuarantin tiga hari sahaja untuk para menteri, anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kepada rakyat.

Menurut pakar virologi USM, Prof Madya Dr Yahya Mat Arip “Virus SARS-CoV-2, iaitu virus penyakit Covid-19 tidak mengenal darjat, kaum, keturunan, agama atau pangkat”. Ia menjangkiti sesiapa sahaja.

Pakar penyakit berjangkit Dr Adeeba menambah “Lebih baik tak ada kuarantin langsung”. 10 hari ada sebab. Ia berkaitan tempoh risiko penularan. Tetapi kuarantin 3 hari apa sebabnya?”

“Maka kenapa Menteri dikenakan kuarantin selama 3 hari sahaja? Kenapa ada perbezaan dengan rakyat biasa. Ia tetap berjangkit.

“Justeru PM kena minta maaf pada rakyat kalau tidak ada penjelasan konkrit,” kata Puad, bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi ketika kerajaan Barisan Nasional itu.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan mengumumkan kuarantin untuk menteri kabinet yang baru pulang dari luar negara hanya tiga hari sahaja.

Arahan ini dikeluarkan menjelang rombongan Perdana Menteri pulang dari lawatan singkat ke Indonesia.

Ia berbeza dengan rakyat biasa yang dikenakan kuarantin wajib selama 10 hari.